KUCHING: Kempen selama 14 hari bermula selepas tamat proses penamaan calon hari ini diharap berjalan lancar.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata mereka yang berkempen tanpa mengira parti diwakili perlulah diadakan dengan penuh tertib.
“Saya saksikan banyak kawasan-kawasan yang dipertandingkan ada satu lawan satu, tiga penjuru, empat penjuru.
“Proses demokrasi ini akan memberi ruang kepada rakyat Sarawak untuk memilih calon-calon yang akan memperjuangkan dan juga mempertahankan hak kita melalui perundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.
Abang Johari yang juga Pengerusi GPS berkata demikian ketika ditemui pemberita di pusat penamaan calon Parlimen Petra Jaya di sini sebentar tadi.
Hadir sama penyandang dan calon kerusi Parlimen Petra Jaya, Dato Sri Fadillah Yusuf.
Abang Johari juga berkata kerajaan GPS mengharapkan Kerajaan Persekutuan yang stabil selepas PRU-15 ini setelah hampir empat tahun disia-siakan.
“Selama empat tahun kita dah banyak membuang masa dengan politik yang tidak menentu.
“Sepatutnya kita memberi perkhidmatan kepada rakyat lebih-lebih lagi dijangka pada 2023 sehingga 2024 berdepan dengan cabaran ekonomi yang sangat hebat.
“Sudah semestinya GPS akan meletakkan dasar dan hal-hal berkaitan Sarawak dan kepentingan di negeri ini diteruskan dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan,” katanya.