KUALA LUMPUR: Usahawan wanita merupakan orang paling sibuk di tengah-tengah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan sejak 18 Mac lepas memandangkan mereka perlu mengendalikan pelbagai tugasan dalam waktu yang sama.
Pengarah Urusan Madcat World Sdn Bhd, Nuraizah Shamsul Baharin berkata usahawan wanita perlu menjalankan perniagaan sambil menjaga anggota keluarga, menguruskan persekolahan anak-anak di rumah, membuat kerja-kerja rumah sementara menghadiri mesyuarat Zoom dan mendapatkan barang-barang runcit.
Beliau menyifatkan PKP sebagai keseimbangan antara urusan kerja dan urusan rumah yang sentiasa berada dalam ketidaktentuan.
Secara ringkasnya, pandemik Covid-19 telah memberi kesan kepada seluruh gaya hidup usahawan wanita di tempat kerja mahupun di rumah.
Dalam realiti norma baharu ini, bukan sahaja golongan wanita perlu bekerja dari rumah, malah, mereka perlu membuat semua kerja rumah.
“Saya masih ingat sewaktu minggu pertama bekerja dari rumah. Sebagai wanita Asia, kita telah dibiasakan untuk membuat kerja-kerja rumah sebagai peranan utama kita di rumah.
“Saya tidak boleh berhenti daripada membersihkan rumah, ia telah menjadi obsesi memandangkan saya tidak lagi boleh memanggil tukang cuci ke rumah saya,” katanya kepada Bernama.
Nuraizah berkata syarikatnya iaitu Madcat World membangunkan aplikasi mudah alih, justeru, sebagai syarikat yang berasaskan teknologi, para pekerja boleh bekerja dari rumah walaupun mengambil masa untuk menyesuaikan diri.
“Begitulah kenyataan norma baharu yang kedua; pejabat sebenarnya adalah tempat di mana kita bersosial sebagai seorang manusia.
“Interaksi ini masih diperlukan oleh pengaturcara muda yang berasa kehilangan tanpa mentor yang memimpin,” katanya.
Madcat World Sdn Bhd merupakan syarikat multimedia berstatus MSC yang mengeluarkan aplikasi, kandungan dan perkhidmatan mudah alih kepada pengendali mudah alih dan Internet.
Syarikat itu mempunyai lebih 800,000 muat turun di 201 negara bagi aplikasi mudah alihnya yang melibatkan kandungan Islam, gaya hidup dan kesihatan, produktiviti, hiburan dan permainan.
Berkongsi pengalamannya, Nuraizah berkata cabaran terbesar bagi beliau untuk bekerja dari rumah adalah mengajar anaknya yang berusia enam tahun yang lebih sanggup bermain Roblox iaitu platform permainan dalam talian berbanding menyiapkan kerja rumah.
“Namun, saya terkejut apabila mendapati dia belajar banyak perbendaharaan kata, walaupun dalam Roblox, namun, ia masih mengagumkan,” katanya.
Walaupun menyesuaikan diri dengan perubahan gaya hidup itu akan mengambil masa, Nuraizah menggariskan beberapa langkah untuk kekal waras semasa bekerja dari rumah iaitu memberikan masa kepada diri sendiri, mencari rangkaian sokongan dan mempelajari sesuatu yang baharu.
“Saya mempunyai dua kumpulan sokongan – pertama, rakan-rakan usahawan wanita di WENA (Persatuan Rangkaian Usahawan Wanita Malaysia) Malaysia, dan satu lagi ialah kumpulan rangkaian perniagaan yang dinamakan sebagai BNI.
“Rangkaian sokongan seumpama ini lebih diperlukan daripada segala-galanya, inilah orang yang akan mendengar masalah anda, memberikan idea baharu dan menyediakan sokongan emosi dan perniagaan apabila diperlukan. Ia juga boleh menjadi sekumpulan rakan anda; menjadi anggota keluarga atau kawan sekerja,” katanya.
Pendapat Nuraizah ini boleh dibaca menerusi https://www.bernama.com/en/thoughts/news.php?id=1842600
THOUGHTS atau Tinta Minda merupakan ruangan baharu di Bernama.com yang memberi peluang kepada pakar-pakar pelbagai bidang untuk berkongsi pandangan dan idea mereka mengenai pelbagai tajuk dan isu-isu semasa.- Bernama