KUCHING: Sebanyak 31 pusat penamaan calon di seluruh negeri dibuka pagi ini untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Tempoh mengemukakan kertas penamaan calon bermula 9 pagi hingga 10 pagi di 31 lokasi itu, antaranya terdiri daripada pejabat daerah, dewan orang ramai dan dewan sekolah.
Sebelum ini, Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak memaklumkan borang penamaan calon itu perlu dikemukakan kepada Pegawai Pengurus di pusat penamaan calon (PPC) yang telah ditetapkan.
Beliau berkata kertas penamaan calon mestilah dikemukakan oleh calon, pencadang dan penyokong, mana-mana dua orang daripada mereka atau mana-mana seorang daripada mereka.
Ikmalrudin turut menyarankan supaya bakal calon membuat pembayaran deposit lebih awal dan resit pembayaran berkenaan perlu dibawa pada hari penamaan calon (sebagai bukti pembayaran.
Calon juga diingatkan untuk membawa surat kebenaran untuk menggunakan simbol parti yang diwakili ketika menyerahkan kertas penamaan calon.
”Pada hari penamaan calon, hanya calon, pencadang calon dan penyokong calon sahaja dibenarkan masuk ke PPC dan orang awam serta penyokong yang mengiringi calon adalah dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan PPC yang telah ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata penggunaan semua jenis alat muzik atau pembesar suara bagi tujuan dakyah politik melalui apa cara termasuk menerusi penggunaan kenderaan, adalah tidak dibenarkan kerana merupakan kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Menurutnya, SPR meminta kepada semua calon dan parti politik yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan yang dikeluarkan oleh SPR, polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) pada hari penamaan calon.
SPR menetapkan hari penamaan calon bagi PRU15 hari ini, hari pengundian (19 November) dan pengundian awal pada 15 November.