WASHINGTON: Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama, semalam menegur kegagalan pentadbiran negara itu menangani krisis Covid-19, satu tindakan mengejutkan terhadap penggantinya, Donald Trump.
Ia adalah teguran kedua Obama dalam tempoh seminggu terhadap kepimpinan Trump mengendalikan pandemik Covid-19.
Difahamkan, beliau pernah secara tegas menolak untuk memberikan sebarang kritikan secara terbuka terhadap pemimpin itu sejak melepaskan jawatannya tiga tahun lalu.”Pandemik ini akhirnya mendedahkan begitu banyak orang yang mengendalikan krisis ini sebenarnya tidak tahu apa yang mereka sedang lakukan.
“Sebahagian besar daripada mereka hanya berpura-pura kononnya bertanggungjawab dan tahu bagaimana menangani krisis ini,” katanya tanpa menamakan mana-mana pemimpin secara khusus.
Beliau berkata demikian dalam dua majlis konvokesyen secara maya bagi pelajar sekolah menengah dan universiti yang sedang melalui perintah berkurung.
Obama turut berpesan kepada kumpulan pelajar terbabit untuk terus mengorak langkah maju ke depan, walaupun pemimpin sendiri disifatkan sebagai gagal berbuat demikian.
“Jika anda mahukan dunia yang lebih baik, maka terpulang kepada anda sendiri untuk mencorakkannya, buatlah apa yang anda rasa baik, selesa dan mudah.
“Malangnya, ada dalam kalangan mereka yang berpangkat dan berjawatan tinggi ini masih tidak melakukan sesuatu dan ia menyebabkan keadaan menjadi lebih teruk,” katanya.
Beliau turut berharap rakyat di negara itu memperkuatkan nilai positif secara berterusan termasuk jujur, bertanggungjawab, adil, pemurah dan menghormati orang lain.Setakat ini, AS mencatatkan kes Covid-19 tertinggi di dunia dengan 1,507,773 kes jangkitan selain 90,113 kematian.
Lebih membimbangkan, kadar pengangguran di AS meningkat kepada 15 peratus dengan 36 juta rakyat memohon bantuan berikutan tiada kerja selepas perintah berkurung dilaksanakan dengan semua perniagaan terpaksa ditutup. – AFP