ADI SAFARMAN
KABONG: Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang jelas memperlihatkan tahap keprihatinan yang tinggi terhadap nasib rakyat di negeri ini oleh kepemimpinan Kerajaan Sarawak.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong Mohd Chee Kadir berkata, kita wajar berterima kasih dengan langkah yang diambil oleh Ketua Menteri itu.
Pada Isnin, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan pakej bantuan menyeluruh kepada rakyat dan sektor perniagaan membabitkan peruntukan RM1.15 bilion.
“Kita amat berterima kasih atas peruntukan yang diberi termasuk kepada 430,000 penerima yang terdiri daripada golongan kurang berkemampuan dan kumpulan B40,” katanya ketika dihubungi pemberita semalam.
Golongan yang layak kata Chee Kadir akan menerima wang sebanyak RM250 selama enam bulan membabitkan kos RM640 juta.
“Ramai yang menyifatkan langkah yang diambil oleh Kerajaan Sarawak itu sebagai tepat dan mampu meringankan beban kewangan golongan terbabit ketika mengharungi detik sukar ini selepas perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan selama dua minggu hingga akhir bulan ini.
“Di bawah pakej yang mengemukakan 16 langkah proaktif itu, barisan hadapan termasuk doktor, jururawat, polis, tentera, kakitangan imigresen, anggota RELA, penjaja, dan peniaga diberi bantuan bagi meringankan beban kewangan dan menggerakkan ekonomi,” ujar beliau.
Chee Kadir berkata, Sarawak merupakan antara negeri pertama di negara ini yang membuat keputusan awal bagi membantu rakyatnya.
Daripada tinjauan pelbagai media, rata-rata rakyat Sarawak memberi pujian dan penghargaan kepada langkah yang diambil oleh Abang Johari itu.
Ini terutamanya, bantuan kewangan RM250 selama enam bulan kepada golongan kurang berkemampuan dan B4 serta golongan penjaja dan peniaga.