BANGKOK: Misi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di pameran Asia Fruit Logistica 2022 di Bangkok, Thailand dijangka menjana potensi nilai eksport RM6.5 juta.
Tahun ini, tiga syarikat pengeksport telah diketengahkan oleh FAMA iaitu DRS Trading Sdn Bhd, Makatas Marketing Sdn Bhd dan Aqina Fruits Sdn Bhd.
Syarikat berkenaan menyertai Asia Fruit Logistica, pameran khusus bagi sektor buah-buahan yang terbesar di Asia di Queen Sirikit National Convention Centre di sini yang berlangsung dari 2 hingga 4 November.
Buah-buahan dipromosikan adalah durian sejuk beku, nanas segar, belimbing, tembikai, nanas dan produk hiliran berasaskan buah-buahan.
Selain itu, beberapa produk baharu turut diperkenalkan pada pameran itu termasuk nanas kering, pati ayam nanas, snek berasaskan nanas dan serbuk durian.
FAMA dalam satu kenyataan berkata usahawan Malaysia dijangka mencatatkan nilai potensi eksport sebanyak RM6.5 juta menerusi permintaan yang baik dari negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Japan, China, Korea dan negara Timur Tengah antaranya Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Lubnan.
“Menerusi maklum balas yang diterima, buah-buahan tropikal Malaysia mendapat permintaan yang memberangsangkan dari pengguna global terutamanya buah-buahan segar seperti nanas, durian dan nangka serta produk hiliran,” katanya.
Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel turut melawat ke gerai-gerai pengeksport Malaysia di Asia Fruit Logistica hari ini.
Penyertaan FAMA pada Asia Fruit Logistica itu bertujuan untuk membantu memperluas dan memperkukuhkan pasaran buah-buahan tropika Malaysia di peringkat global.
Promosi seumpama itu telah dilakukan sejak 2004.
Sementara itu, Kaunselor Pertanian Pejabat Penasihat Pertanian Bangkok, Hairuddin Maslan berharap lebih banyak syarikat Malaysia berkelayakan menyertai pameran antarabangsa seperti AsIa Fruit Logistica di Thailand untuk mengembangkan kehadiran pasaran mereka di peringkat global.
“Pameran sebegini akan memberi peluang kepada syarilat-syarikat Malaysia menerokai peluang baharu dan menembusi pasaran yang lebih besar,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menerusi FAMA secara berterusan menyediakan platform kepada komuniti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan untuk meneroka pasaran eksport di seluruh dunia menerusi jabatan dan agensinya.
Saiz pasaran eksport yang terbuka dan luas menawarkan pulangan yang lebih menguntungkan serta sebagai alternatif kepada pasaran domestik yang terhad.
“Walaupun bidang pengeksport mempunyai cabaran dan risiko yang tinggi, namun usahawan Malaysia perlu diperkasakan dan dibimbing untuk berdaya maju diperingkat global,” katanya. – Bernama