KUALA TERENGGANU: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) telah menjalankan ujian saringan COVID-19 terhadap lebih 300 peniaga di Pasar Borong Gong Pauh di sini, secara berperingkat sejak Khamis lepas.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata walaupun masih belum ada sebarang kes COVID-19 melibatkan peniaga di pasar borong itu, saringan tersebut tetap diadakan sebagai langkah proaktif pihaknya.
“Semua peniaga juga memberi kerjasama yang baik dan faham tujuan saringan itu dijalankan untuk mencegah penularan COVID-19 memandangkan ia adalah antara lokasi tumpuan ramai penduduk sekitar Kuala Terengganu,” katanya kepada pemberita semalam.
Dalam pada itu katanya, JKNT juga menasihatkan peniaga dan orang ramai yang membeli barangan keperluan di pasar itu agar sentiasa menjaga penjarakan sosial, memakai pelitup muka serta membersihkan tangan dengan kerap sebagai langkah mencegah jangkitan wabak itu. — Bernama