SHAHRUL QAIZAT
KUCHING: Richard Rapu Begri, 59, berjanji akan meneruskan legasi dan kerja baik yang telah dijalankan oleh penyandang kerusi Parlimen Betong, Datuk Robert Lawson Chuat.
Katanya, bagi menghormati Robert Lawson dan Datuk Amar Douglas Uggah Embas, beliau akan teruskan perancangan mereka yang begitu banyak di kawasan Betong dan dari segi perkara lain pula akan berpandukan dengan arahan pucuk pimpinan.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan kerana telah memberi kepercayaan untuk saya dicalonkan di kawasan Betong. Saya juga beri penghargaan dan terima masih terutama kepada Datuk Robert yang telah memohon untuk tidak dicalonkan bagi memberi ruang kepada muka baru,”katanya.
Beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak sejak 2016 berkata pelbagai program khas untuk belia-belia telah dianjurkan, bagi meraih undi daripada pengundi muda.
“Banyak program khas untuk belia di kawasan ini telah dianjurkan dan pemimpin kita juga telah banyak melakukan program yang memang direka khas utk golongan belia.
“Program sebegini mampu menarik minat mereka dan seterusnya mendapatkan sokongan mereka terutamanya pengundi 18 sehingga 28 tahun kepada GPS dengan slogan kita ‘Utamakan Sarawak’” katanya.
Beliau juga menyifatkan media sosial merupakan salah satu cabaran untuknya.
“Cabaran banyak, pelbagai… Antaranya dengan ada media sosial. Sekarang semua ada di hujung jari. Kita kena mahirkan diri dan jentera parti untuk siap siaga dengan gajet dan media sosial ini,”katanya.
Beliau adalah juga Setiausaha Cawangan PBB N37 Bukit Saban.
Richard Rapu merupakan seorang veterinar dan telah berkahwin dengan dua anak.
Sebelum menjadi setiausaha politik Premier Sarawak sejak Julai 2016, beliau adalah pegawai veterinar dan ketua projek di Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dari 1988 hingga 1995.
Pada pilihan raya umum ke-14, Lawson menewakan calon Bebas Abang Ahmad Abang Suni dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Noel Changgai Bucking dengan majoriti 8,116 undi.