KUCHING: Ahli politik veteran, Datuk Joseph Salang Gandum, 71, membuat kemunculan semula untuk bertanding di Parlimen Julau.
Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) itu dijangka sekali lagi berdepan Datuk Larry Sng, kini Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Larry Sng yang ketika itu bertanding atas tiket calon Bebas, menewaskan Joseph Salang, sekali gus mengakhiri cengkamannya selama empat penggal bagi kerusi Parlimen Julau sejak 1999.
Pencalonan Joseph Salang bersama 30 calon lain GPS diumumkan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang juga Pengerusi GPS pada sidang media di Ibu Pejabat PBB, Jalan Bako, Petra Jaya, hari ini.
Sebelum ini Joseph Salang pernah menyandang jawatan Timbalan Menteri Luar dan Timbalan Menteri Penerangan , Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan.
Bagaimanapun, selepas pilihan raya umum 2013, beliau menolak tawaran untuk jawatan Timbalan Menteri.
April lalu, Joseph Salang secara rasmi mengambil alih jawatan Presiden PRS berikutan kematian Tan Sri Dr James Masing pada 30 Oktober tahun lalu.
Asalnya, beliau adalah ahli Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) dan pernah menjadi Ahli Parlimen tanpa parti apabila PBDS dibubarkan pada 2004.
Beliau kemudiannya menyertai PRS sebelum pilihan raya umum 2008.