Oleh Azreen Keria
KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyarankan ditubuh sebuah agensi berkaitan psikologi dan kaunseling.
Katanya, ia bertujuan menggalakkan peningkatan bilangan pengamal psikologi dan kaunseling bagi memenuhi keperluan kesihatan mental dan kesejahteraan rakyat.
“Sekarang ada 42 pegawai psikologi ditempatkan di pelbagai jabatan dan agensi kerajaan.
“Terdapat 2.9 juta penduduk di Sarawak dan ini bermakna, seorang kaunselor (secara purata) akan berkhidmat untuk 6,000 orang,” katanya.
Beliau berucap pada majlis Makan Malam Gala Konvensyen Kaunseling Antarabangsa 2022 di Hotel Riverside Majestic, di sini malam ini.
Abang Johari berkata, kerajaan Sarawak komited untuk memberi sokongan terhadap kesihatan mental dan kesejahteraan penjawat awam.
“Dalam hal ini, jelas sekali terdapat permintaan yang semakin meningkat terhadap ahli psikologi dan kaunselor di negeri kita,” katanya.
Beliau berkata Perkhidmatan Awam Sarawak-Amalan Komuniti (SCS-CoP) juga adalah usaha kolaboratif penting untuk meningkatkan perkhidmatan psikologi dan kaunseling di negeri ini.
Katanya, negeri ini membayangkan usaha seperti ‘Satu Komuniti, Satu Kaunselor” yang menyasarkan untuk mencapai kesejahteraan holistik rakyat.
“Ini menggabungkan pengamal psikologi atau kaunseling dari pelbagai institusi dan agensi di negeri ini.
“Kerajaan Sarawak mengambil berat kesejahteraan pegawai dalam perkhidmatan awam negeri. Setiap penjawat awam bukan hanya sekadar pekerja,” katanya.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Presiden Perkema International Dato Dr Abdul Halim Mohd Hussin.