Oleh Azreen Keria
KOTA SAMARAHAN: Jadikan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) berada dalam senarai 100 universiti terbaik dunia.
Pro-Canselor Unimas, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata aspirasi itu jika berjaya digapai akan membanggakan Sarawak.
“Itu aspirasi saya supaya Unimas berada dalam senarai 100 terbaik dalam kedudukan universiti dunia suatu hari nanti dan melahirkan bakat dan pemimpin masa depan.
“Itu pasti membanggakan Sarawak,” katanya dalam ucapan pada sesi keempat Istiadat Konvokesyen UNIMAS ke-26 di sini hari ini.
Uggah yang juga Timbalan Premier Sarawak berkata buat masa ini Unimas berada pada kedudukan 1,201 dalam kalangan 1,799 universiti di 104 negara dan wilayah seeta menduduki tempat 401 dalam ranking universiti dunia.
Bagaimanapun katanya, Unimas berada pada kedudukan lapan teratas dan disenarai pendek dalam dua kategori – ‘Workplace Of The Year’ dan ‘International Strategy Of The Year’.
“Dengan sokongan kerjasama berterusan yang diberikan antara Kerajaan Sarawak dan UNIMAS, saya optimis universiti ini akan mencapai tahap lebih tinggi pada tahun-tahun akan datang,”katanya.
Uggah berkata universiti itu akan dapat melahirkan graduan yang mempunyai masa depan, menggalakkan kecemerlangan penyelidikan, melahirkan bakat, berdaya saing di peringkat global dan paling penting, mampan dari segi kewangan.
“Saya percaya dengan rancangan dan aspirasi baharu itu, Unimas akan dapat melonjak ke arah kecemerlangan dan mencapai transformasi melalui fungsi terasnya dalam pendidikan, penyelidikan, pertukaran pengetahuan, serta melalui penglibatan dengan pihak berkepentingan dan komuniti,” katanya.
Beliau turut menzahirkan ucapan tahniah kepada universiti yang baru-baru ini menerima pengiktirafan daripada The Awards Asia 2022.
Pada majlis konvokesyen sesi keempat itu, seramai 687 graduan dari Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat serta Fakulti Kejuruteraan telah menerima skrol masing-masing.