Oleh Shahrul Qaizat
KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersedia berdepan empat calon Perikatan Nasional (PN) untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), 19 November nanti.
Ketua Whip GPS Dato Sri Fadillah Yusof berkata kehadiran PN untuk bertanding di Sarawak, bermakna gabungan itu mahu menentang GPS.
PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah gabungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PAS, GERAKAN, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP).
Katanya, soal PN bertanding di negeri ini adalah hak gabungan itu.
“Itu hak mereka (untuk meletakkan calon di Sarawak) dan bila mereka meletak (calon), bermakna mereka nak berlawan dengan GPS dan kami akan lawan.
“Kita akan lawan dan pastikan GPS menang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Sembang Santai bersama Dato Sri Fadillah Yusof di Dewan Sri Bunga Rampai, di sini hari ini.
Semalam, PN mengumumkan hasrat meletakkan empat calon di Sarawak dengan tiga daripadanya mewakili Bersatu dan seorang lagi calon PAS.
Daripada empat calon terbabit, dua ialah penyandang yang akan mempertahan kerusi yang dimenangi pada 2018.
Mereka ialah Datuk Ali Biju yang akan mempertahan kerusi Parlimen Saratok dan Jugah Muyang pula akan mempertahan kerusi Lubok Antu.
Seorang lagi calon Bersatu yang mewakili PN ialah Duke Janteng yang akan bertanding di Parlimen Bintulu, manakala calon PAS yang akan bertanding di Parlimen Batang Lupar, akan diumumkan kemudian.