NICKELYSON LAKUN
KOTA SAMARAHAN: Rezeki mendapat biasiswa Yayasan Sarawak tidak disia-siakan begitu saja namun ia pembakar semangat kepada beliau untuk terus menimba ilmu yang akhirnya beliau berjaya dibobatkan sebagai Penerima Anugerah Graduan Cemerlang Yayasan Sarawak (Kategori Bukan Bumiputera).
Eugenius Then Ji Xuan, 24 tahun antara pelajar yang menerima tajaan biasiswa Yayasan Sarawak berkata, anugerah ini merupakan titik permulaan baginya untuk terus maju menimba ilmu pengetahuan terutamanya dalam bidang perubatan.
“Dalam banyak-banyak pelajar yang mengikuti program doktor perubatan saya sangat tidak menyangka saya diberi anugerah seperti ini, terima kasih.
“Ibu ayah, anugerah ini khas untuk kamu berdua,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yayasan Sarawak kerana melalui biasiswa ini beliau dapat belajar tanpa terlalu memikirkan wang ringgit.
“Selama lima tahun pengajian saya di sini sebagai pelajar doktor perubatan, semua yuran pengajiandan kemudahan penginapan ditanggung sepenuhnya oleh Yayasan Sarawak.
“Dengan adanya semua kelebihan ini, saya dapat memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pengajian saya,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita sempena Majlis Konvokesyen UNIMAS ke-26 di Arena Gemilang DeTAR PUTRA, semalam.
Dalam pada itu, beliau turut memasang impiannya untuk menjadi seorang pakar bedah pada suatu hari nanti dan mahu berkhidmat di Sarawak katanya.
Ditanya pemberita mengenai penempatan, beliau tidak peduli untuk berkhidmat di mana-mana tempat atau kawasan setelah berjaya ditempatkan kelak.
“Saya tidak peduli akan semua itu, apa yang penting sekarang adalah saya boleh kembangkan pengetahuan saya dalam bidang perubatan dan membantu masyarakat sekeliling.
“Walaupun saya ditempatkan di pedalaman kelak, saya mahu sebab banyak perkara yang saya boleh di sana,” katanya.