KUCHING: Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dipilih pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan membawa suara ‘anak Sarawak’ bagi memperjuangkan hak mengembalikan tuntutan seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang juga Pengerusi GPS berkata, mereka akan terus menyuarakan kuasa negeri ini yang terhakis dalam MA63 supaya boleh dikembalikan.
“Kita akan menghantar Ahli Parlimen (GPS) ini bagi menyatakan hak-hak Sarawak seperti termaktub dalam MA63.
“GPS akan menekankan mengenai kuasa yang terhakis dan berterima kasih kepada Kerajaan (Persekutuan) yang lalu kerana meminda Perlembagaan Persekutuan (Perkara 1(2), 160(2) dan 161A (6) dan (7)) walaupun banyak lagi perkara yang belum selesai.
“Melihat dalam (tempoh) lima tahun lepas, banyak perkara juga mereka (Putrajaya) telah selesaikan menerusi perundingan kerajaan Sarawak dengan Kerajaan Pusat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran Jentera Pemuda GPS di Stadium Perpaduan Negeri, Petrajaya, hari ini.
Abang Johari berkata, selain itu GPS juga banyak memainkan peranan secara bertanggungjawab, tidak hanya berkisarkan kepada susun atur politik malah menyumbang kepada kestabilan negara.
” Sebab itulah kita telah memainkan peranan dalam krisis yang berlaku selepas PRU-14. Seperti yang kita tahu, Malaysia mempunyai tiga Perdana Menteri selepas PRU-14.
“Walaupun 22 bulan kita di perintah oleh Kerajaan Pakatan Harapan(PH), Sarawak tetap dengan agenda pembangunannya tersendiri dan juga mengukuhkan kedudukan kewangan bagi memajukan agenda pembangunan Sarawak,”katanya.
Abang Johari berkata, bagi memajukan pembangunan bakat yang selari dengan perubahan ekonomi berteraskan ekonomi baharu, GPS akan memperkenalkan satu agenda pendidikan yang lebih tinggi.
“Kita akan mempunyai agenda pendidikan yang lebih tinggi supaya pembangunan bakat kita sesuai dengan perubahan ekonomi berteraskan kepada ekonomi baharu, inilah agenda kita dalam GPS,” katanya.