KUCHING: Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) Datuk Larry Sng menggantung tugas dua pegawai tertinggi parti kerana menggugat kepemimpinannya.
Mereka ialah Setiausaha Agung PBM, Nor Hizwan Ahmad dan Ketua Penerangan, Zakaria Abdul Hamid.
Sng yang juga penyandang kerusi Parlimen Julau berkata, tindakan itu diambilnya kerana beliau masih menyandang jawatan Presiden PBM.
“Menurut rekod Pendaftar Pertubuhan, saya masih lagi menjadi Presiden PBM yang diiktiraf secara sah.
“Ia selaras dengan perlembagaan PBM (Fasal) 60 (iii), maka saya telah mengambil keputusan untuk menggantung Setiausaha Agung PBM Nor Hizwan Ahmad dan Ketua Penerangan Zakaria Abdul Hamid berkuat kuasa serta-merta.
“Ini adalah berhubung mesyuarat majlis tertinggi pada 7 Oktober lalu, yang tidak seperti diarahkan oleh saya (selaku) presiden parti,”katanya dalam catatan Facebooknya, semalam.
Sng berkata, mesyuarat itu dijalankan pada masa sama ketika pembentangan Bajet 2023 dan beliau hanya dimaklumkan mengenai keputusan itu selepas mesyuarat diadakan.
Katanya, keputusan mesyuarat itu dikatakan telah melantik Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai presiden, sedangkan jawatan itu tidak pernah kosong.
“Saya amat membenci dan mengecam muslihat politik sebegitu yang telah menjejaskan kepercayaan kepemimpinan saya dan telah menimbulkan kekeliruan kepada ahli parti serta masyarakat umum.
“Oleh itu, jawatan mereka akan digantung sehingga jawatankuasa tatatertib ditubuhkan untuk meneliti perkara itu selepas pilihan raya,” katanya.
Dalam pada itu, Sng mengumumkan timbalan setiausaha agung parti itu Jenny Chiew, yang merupakan anak Sarawak, bagi menyandang peranan sebagai Setiausaha Agung PBM.