KUCHING: Sarawak sanggup menggunakan dana sendiri untuk menubuhkan pusat kanser yang dirancang dibina di Samarahan kerana keperluan serta mahu menjadikannya destinasi pelancongan perubatan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, hospital itu akan dilengkapi kemudahan terkini selain bertujuan mengubahnya menjadi satu lagi ciri utama pelancongan perubatan Sarawak.
“Ini kami lakukan walaupun (isu) penjagaan perubatan adalah urusan Kerajaan Persekutuan. Sarawak sanggup menggunakan dana sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam Rangkaian Bersama Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) di sebuah hotel di sini, malam tadi.
Sebelum ini, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dilaporkan berkata bahawa Sarawak menawarkan pinjaman berjumlah RM1 bilion kepada Kerajaan Persekutuan bagi membina pusat kanser di Samarahan.
Dr Sim berkata, tawaran Sarawak membuat pinjamam itu kerana Kerajaan Persekutuan memaklumkan tiada dana mencukupi untuk membina pusat kanser diminta itu dan perkara ini sudah dikemukakan kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Abang Johari berkata, Pusat Kanser Sarawak melangkaui rawatan kanser semata-mata kerana pesakit memerlukan persekitaran dan program kesihatan yang kondusif untuk mereka pulih dan sembuh sepenuhnya.
“Dalam erti kata lain, kita telah mengenal pasti kawasan sepanjang jalan Kota Samarahan menghala ke Pusat Jantung Sarawak, bersama Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak serta kemudahan pendidikan untuk sandaran perkhidmatan yang diperlukan dalam industri penjagaan kesihatan ini,” katanya.
Abang Johari juga berkata beliau ada melawat pusat peranginan spa kesihatan di Budapest, Hungary untuk melihat secara langsung program kesihatan.
“Saya berharap Sarawak, khususnya Kuching akan menjadi pusat rawatan kanser serta penjagaan kesihatan dalam masa terdekat,” katanya.