KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan berusaha menawan kerusi Parlimen Mas Gading dan Serian, kedua-duanya kawasan majoriti kaum Bidayuh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, GPS akan berusaha membuktikan bahawa gabungan parti itu adalah pilihan terbaik buat rakyat di dua kawasan tersebut.
“Kami akan lawan mereka (parti lawan) dan tunjukkan yang kami adalah lebih baik, terutamanya dalam memberikan komitmen bagi membantu rakyat dan bukan hanya retorik,” katanya selepas menghadiri Persidangan Antarabangsa Ke-2 Sains dan Teknologi Inovatif Bagi Penyelidikan dan Pendidikan (INNOSTRE) 2022, anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak di sini, hari ini.
DAP Sarawak sebelum ini mengumumkan Mordi Bimol sebagai calonnya untuk mempertahankan kerusi Parlimen Mas Gading, manakala Laerry Jabul sebagai calonnya di Serian.
Sementara itu, Roland berkata calon GPS di dua kawasan tersebut juga akan diumumkan Pengerusi GPS Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg nanti.
GPS merupakan gabungan parti dianggotai PBB, Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November ini sebagai tarikh pengundian bagi PRU-15 dan penamaan calon pada 5 Nov, manakala pengundian awal pada 15 November.
Pada PRU-14, Mordi Bimol (DAP) menang kerusi Mas Gading dengan majoriti 3,024 undi manakala Datuk Seri Richard Riot dari SUPP menang kerusi Serian dengan majoriti 9,905 undi. – Bernama