• KEJOHANAN GOLF BMW WANITA
LYDIA Ko dari New Zealand melakukan 65 pukulan kelmarin untuk merangkul kejuaraan Jelajah LPGA ke-18nya pada Kejohanan BMW Wanita dan yang pertama di Korea Selatan, negara kelahirannya.
Pusingan akhir tujuh bawah par pemain berusia 25 tahun itu memberikannya kemenangan empat pukulan ke atas Andrea Lee dari Amerika Syarikat di Oak Valley Country Club.
Ko mencatat lapan birdie dengan hanya satu bogey untuk merampas cek pemenang $300,000 selepas menamatkan saingan 21 bawah par 267.
“Saya berasa sangat bangga dilahirkan di Korea,” kata Ko, yang keluarganya berpindah ke New Zealand ketika dia berusia empat tahun kepada pemberita.
“Saya fikir kerana itu, saya benar-benar mahu menang di sini,” katanya.
“Minggu ini saudara-mara saya ada di sini, keluarga langsung saya ada di sini. Dan saya mahu memenanginya untuk mereka juga.”
Ko yang juga pemain nombor lima dunia menjadi pemain LPGA kelima musim ini yang meraih beberapa kemenangan,dan ia adalah kali pertama dia mencapai kejayaan itu sejak 2016.
“Minggu ini, lebih daripada sebelumnya, saya benar-benar mahu menang di Korea, dan saya fikir mungkin itu adalah pemikiran yang baik atau saya menghipnotis diri sendiri untuk cuba menyelesaikannya,” kata Ko.
“Setiap kali saya kembali ke Korea, walaupun saya bermain di bawah bendera New Zealand, begitu ramai orang menyokong saya dan fikir itu adalah satu rangsangan,” tambahnya.
“Ia adalah suasana yang tidak nyata dan kami tidak bermain dalam banyak suasana seperti itu.”
Ko memulakan pusingan terakhir satu pukulan di belakang pendahulu 54 lubang, Atthaya Thitikul dari Thailand, dengan 14 bawah par.
Namun Atthaya, yang menduduki ranking kedua dunia, merosot dengan 74 pukulan untuk menduduki tempat keenam, terlepas peluang untuk memintas pemain Korea Selatan, Ko Jin-young dan menjadi pemain nombor satu dunia baharu.
Pemain dari Thailand itu akan melonjak ke kedudukan teratas dunia dengan sekurang-kurangnya menduduki tempat keempat. – AFP