DIYANA SAMSUDDIN
KUCHING: Sarawak sekali lagi tiada kes positif Covid-19 dilaporkan semalam dan menyaksikan daerah Bau menjadi daerah berstatus Hijau baharu.
Penukaran status Bau itu menjadikan jumlah daerah berstatus Kuning sebanyak enam buah dan daerah berstatus hijau 34 buah.
Menurut kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) seramai 23 kes baharu telah sembuh dan discaj daripada hospital.
Difahamkan daripada jumlah 23 kes tersebut, 19 kes adalah dari Hospital Umum Sarawak, tiga dari Hospital Bintulu dan satu dari Hospital Sibu.
“Dengan ini negeri ini telah mencatatkan sebanyak 544 kes kekal positif,” katanya dalam kenyataan semalam.
Sementara itu setakat semalam, jumlah keseluruhan kes postif Covid-19 yang telah sembuh dan discaj ialah 428 kes atau 78.68%.
“Seramai 24 PUI baharu dilaporkan dan seramai 24 kes masih menunggu keputusan makmal,” ujarnya.
Seterusnya semalam mencatatkan seramai 407 Person Under Surveillance (PUS) telah mendaftar masuk di hotel untuk menjalani kuarantin, menjadikan jumlah keseluruhan PUS di 31 hotel adalah seramai 2,603 orang.
Manakala seramai 4,289 PUS telah tamat menjalani tempoh kurantin.
Selain itu kenyataan itu menyebut sebanyak 2,332 lokasi pemantauan semalam telah dilakukan seperti Pasar raya / Restoran / Kilang (1,815), Pasar Awam / Tani (381), Tempat Ibadah (75), Tempat Riadah (38) dan Tapak Pembinaan (23).
“Hasil pemantauan mendapati orang ramai yang keluar untuk urusan seharian mematuhi arahan amalan penjarakan sosial dan memakai penutup hidung dan mulut,” jelasnya dan menambah pasar raya, restoran dan bank adalah antara premis yang banyak dikunjungi.
Tambahnya pasukan pemantau sentiasa memberikan nasihat kepada orang awam dan pemilik premis perniagaan agar sentiasa mematuhi syarat-syarat PKPB sebagai langkah pencegahan penularan wabak COVID-19.
“Sehingga semalam sebanyak 26,603 pemberitahuan sektor ekonomi yang telah dibuka diterima. Daripada jumlah tersebut, 19,103 adalah melalui atas talian dan 7,500 melalui email,” katanya lagi.
Pada masa sama sebanyak 27 lokasi operasi nyahcemar telah dilakukan dan menjadikan bilangan kumulatif lokasi di Sarawak adalah 645 lokasi.
Selain daripada itu juga Unit Kesihatan Awam PBT melaksanakan program nyahcemar di 84 lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai.
Sehingga semalam, Sarawak telah menyelaras kepulangan pelajar yang balik dari Semenanjung, Sabah dan Labuan seramai 6,164 pelajar.
Disamping itu JPBN juga telah menyelaras seramai 1,542 pelajar tempatan di Sarawak untuk balik ke kampung halaman.