BAU: Penyertaan bagi kejohanan sukan larian lasak Borneo Trail Classic (BTC) Edisi Kedua anjuran Bold Warriors Adventure and Exploration Club kini dibuka.
Menurut Pengarah Urusan Spartan Global Licensed Michael Goodwin, BTC Edisi Kedua ini akan diadakan pada 7 Oktober 2023 di lokasi yang sama dengan edisi pertama.
“BTC Edisi Pertama telah berlangsung dengan jayanya di Redeems Centre, Kampung Apar pada Sabtu dengan perasmian penutupan sekali gus penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang disempurnakan oleh Presiden Pertubuhan Pergerakan Penyelidikan dan Pembangunan Singai Sarawak (REDEEMS), Datuk Peter Nansian Ngusie.
“BTC pada kali ini telah diadakan selama dua hari iaitu pada 15 hingga 16 Oktober 2022 dan berjaya menghimpun lebih 1,700 peserta dari seluruh dunia dengan menampilkan dua kejohanan berlainan jarak iaitu 100km Trail Ultra dan 50km Trail Run, bersama-sama dengan 21km, 10km, 7km termasuk larian kanak-kanak (1 dan 3km),”jelasnya dalam satu kenyataan media.
Keseluruhan denai telah melalui Pusat Hidupan Liar Matang, Taman Keluarga Matang, Gunung Singai dan kawasan perkampungan Singai.
Untuk rekod, BTC adalah perhentian ketujuh daripada sembilan perhentian di seluruh dunia dan satu-satunya hentian yang terletak di Asia Tenggara di bawah Kejohanan Dunia Spartan Trail 2022.
Ia merupakan sebahagian daripada siri kejohanan larian denai paling berprestij di dunia iaitu Spartan Trail World Championship.
Orang ramai kini boleh menghantar penyertaan atau mendapatkan keterangan lebih lanjut dengan melayari laman web www.borneorailclassic.com atau menghantar e-mel ke ruready@borneorailclassic.com.