ELLIE EDWARD
BINTULU: Bekalan makanan asas di Bintulu mencukupi dan masih boleh didapati di pasaran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Bintulu Nazari Hassan berkata, pengguna disarankan supaya tidak membuat pembelian panik untuk mendapatkan barangan keperluan berkenaan.
“Pengguna disarankan supaya tidak melakukan pembelian panik kerana pihak KPDNHEP sentiasa memantau dan memastikan barangan keperluan asas mencukupi di pasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Menurutnya, pihak KPDNHEP sentiasa melakukan pemantauan harian sejak PKP dikuatkuasakan bagi memastikan barangan keperluan harian mencukupi.
Nazari turut turun padang bersama anggotanya untuk melakukan pemantauan bagi memastikan bekalan keperluan asas berkenaan sentiasa mencukupi di pasaran.
“Didapati bekalan asas seperti gula, minyak masak, tepung, makanan dalam tin, bahan api seperti petrol dan diesel serta barangan sedia bungkus yang lain masih mencukupi,” katanya.
Sehubungan itu katanya, pemantauan harian telah dijalankan dan akan diteruskan yang melibatkan premis menjual barang keperluan asas terutama di peringkat pemborong utama, pasar raya dan premis perniagaan lain.
“Dalam masa PKP dilaksanakan pihak kami tiada menerima aduan yang berkaitan dengan bekalan barangan keperluan asas, Cuma didapati bekalan topeng muka dan hand sanitizer menghadapi gangguan bekalan stok,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau yang mewakili pihak KPDNHEP Cawangan Bintulu berterima kasih kepada pemborong, pasar raya dan premis perniagaan yang lain kerana telah memberikan kerjasama baik kepada mereka dalam melakukan pemantauan bagi mestikan bekalan asas tersebut mencukupi untuk warga Bintulu.