PERBINCANGAN…Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah berkongsi maklumat dalam taklimat situasi banjir di negeri ini yang diadakan di bilik persidangan Wisma Bapa Malaysia hari ini.
KUCHING: Semua bahagian dan daerah di negeri ini diarah mempertingkatkan persiapan menghadapi kemungkinan banjir berikutan musim tengkujuh timur laut yang diramal bakal berlaku.
Untuk tujuan itu, pihak Jawatankuasa pengurusan bencana di peringkat bahagian dan daerah memastikan persediaan rapi.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ia termasuk memastikan bekalan makanan serta barang keperluan lain mencukupi di pusat penyimpanan makanan masing-masing.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, jabatan-jabatan yang merupakan ahli JPBNS mesti memastikan semua fasiliti diperlukan dan tenaga manusia mencukupi bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
“Kami mahu semua jabatan ini juga berjaga-jaga sepenuhnya malah saya telah mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) memberi perhatian khusus kepada sebarang kemusnahan jalan raya dan jalan yang telah terjejas akibat banjir,”katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri taklimat situasi banjir di negeri ini yang diadakan di bilik persidangan Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.
Uggah yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan, berkata jalan-jalan itu akan dipenuhi dengan jalan berlubang dan berbahaya kepada semua pengguna .
“Saya telah mengarahkan JKR untuk bersiap sedia, bersedia untuk membaikinya atau membina semula akses supaya rakyat akan mendapat kesan yang minimum.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi meramalkan hujan berterusan akan melanda beberapa bahagian di negeri ini mulai hari ini hingga Jumaat ini.
Kawasan ini termasuk Bahagian Mukah (daerah Daro, Matu, Dalat dan Mukah), Bahagian Bintulu, Bahagian Miri (daerah Subis, Beluru, Miri dan Marudi) dan Bahagian Limbang.
Mengenai situasi itu, Uggah berkata mereka yang tinggal berhampiran sungai perlu mengambil semua langkah berjaga-jaga.
“Sila ambil perhatian dengan apa-apa arahan daripada pegawai kami yang memantau di lapangan.
“Jangan teragak-agak untuk berpindah ke pusat pemindahan atau kawasan yang lebih tinggi jika anda dinasihatkan berbuat demikian.
“Ini demi kepentingan keselamatan anda dan keluarga anda,”katanya.
Selain itu, Uggah turut menzahirkan rasa syukur dengan operasi yang dilakukan oleh semua pegawai terbabit di beberapa kawasan di Bahagian Miri dan Kapit yang dilanda banjir baru-baru ini.
“Saya dapat melihat bahawa pasukan kami telah bertindak balas dengan cekap dalam membantu mangsa.”
Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya Polis negeri Dato Mancha Ata, Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan negeri Dato Dr Chai Khin Chung dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Noriah Ahmad.
Oleh Azreen Keria