TOKYO: Kapasiti penjanaan tenaga boleh diperbaharui Sarawak memberi kelebihan untuk menarik pelabur asing berbanding pesaing serantau lain, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Katanya, dalam menghadapi krisis perubahan iklim dan perlumbaan ke arah tenaga boleh diperbaharui atau tenaga hijau, Sarawak berada pada kedudukan baik untuk menarik pelaburan asing termasuk dari sektor perbankan mengenai potensi kuasa hidronya yang besar.
“Penjanaan tenaga hidro Sarawak dengan jumlah kapasiti 3,452 megawatt (MW) membolehkan negeri menyediakan tarif paling kompetitif di rantau ini.
“Ini juga akan memberi kelebihan kepada Ferroalloys (Pertama Ferroalloys Sdn. Bhd) kerana produk mereka akan mempunyai kelebihan berbanding produk lain yang serupa dihasilkan menggunakan bahan api fosil,” katanya.
Beliau berkata demikian sebelum majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pertama Ferroalloys Sdn. Bhd. dan Kerajaan Sarawak di sebuah hotel di sini, kelmarin.
MoU itu ditandatangani atas hasrat Ferroalloys untuk mengembangkan kemudahan peleburan ferroaloi dan ferrosilikon sedia ada di Taman Perindustrian Samalaju di Bintulu, yang pertama daripada kemudahan sedemikian di Malaysia yang akan menyaksikan jumlah pelaburan sebanyak AS$600 juta.
Premier Sarawak dan rombongannya tiba di bandar raya ini Isnin lalu untuk lawatan selama seminggu.
Abang Johari juga akan menjadi ahli panel dalam forum berkaitan hidrogen dan iklim dunia yang dianjurkan oleh Kerajaan Metropolitan Tokyo.
Forum yang dijadualkan pada petang ini bertajuk “Masa untuk Bertindak” ialah pergerakan perubahan iklim bertujuan meneroka penggunaan hidrogen yang lebih luas sebagai bahan api bukan fosil dan bebas pelepasan.
Premier Sarawak mengucapkan terima kasih kepada Ferroalloys atas keputusannya untuk membuka kilangnya di Samalaju, Bintulu dan atas hasratnya untuk memperkenalkan inisiatif sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporatn kepada Sarawak khususnya dalam pembangunan sumber manusia.
“Sarawak kekurangan sumber manusia, terutamanya dalam sains bahan,” katanya merujuk kepada bidang yang paling relevan dengan operasi syarikat.
Beliau mencadangkan pengurusan syarikat itu berbincang dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak untuk melaksanakan program termasuk pembiayaan biasiswa kepada pelajar Sarawak melalui Yayasan Sarawak bagi melanjutkan pelajaran dalam bidang terpilih.
Berhubung permit kerja, beliau berkata, Kerajaan Sarawak telah memutuskan untuk memberi permit kerja lima tahun kepada ekspatriat sebagai inisiatif untuk memudahkan, khususnya jurutera dan saintis bekerja di Sarawak dan menyumbang kepada pembangunannya.
Terdahulu, Pengerusi Asia Minerals Limited dan PERTAMA Ferroalloy Sdn Bhd, Hirotaka Suzuki, turut berucap.
Suzuki berkata dengan selesainya pembesaran itu, kilang berkenaan akan menggaji 1,000 kakitangan dan pekerja di mana 90 peratus adalah penduduk tempatan.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Perancangan dan Pembangunan Ekonomi) Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC)Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Dato Husain dan Timbalan Ketua Perwakilan, Kedutaan Malaysia, Tokyo Nor’Azam Mohd Idrus.
Terdahulu, Premier Sarawak menerima kunjungan hormat pengurusan sebuah lagi syarikat Jepun, Marubeni Corporation yang memberi taklimat mengenai operasi syarikat itu dan bidang potensi kerjasama dengan Sarawak.