PENYAMPAIAN… Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan kontinjen sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat Daerah Gedong.
GEDONG: Kawasan baharu di Gedong yang terletak di seberang sungai Batang Sadong, akan dibangunkan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata ini akan merintis ke kawasan Ulu Gedong, Simunjan dan memasuki Samarahan hingga ke Sebuyau, Lingga serta kawasan pesisir lain.
Berikutan itu katanya, dan bagi mempercepatkan proses pembangunan bersepadu itu, Kabinet Sarawak telah meluluskan cadangan menaik taraf Gedong sebagai daerah penuh.
“Ini akan membantu dalam melaksanakan rancangan pembangunan di Gedong.
“Hari ini baru kita mulakan dan kita akan bina kawasan baharu di Gedong yang terletak di seberang sungai,” katanya.
Abang Johari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong berucap pada majlis penutup sambutan Maulidur Rasul peringkat daerah di Dewan Datuk Patinggi Ali di Gedong di sini, semalam.
Beliau berkata, perkara pertama dilakukannya selepas memenangi kerusi DUN Gedong adalah untuk menjadikan Gedong sebagai sebuah daerah penuh.
“Ini kerana kita komited dalam apa juga untuk kesenangan rakyat Sarawak,” katanya.
Daerah Gedong termasuk Daerah Samarahan, Daerah Asajaya, Daerah Simunjan, dan Daerah Sebuyau merupakan antara daerah dalam Bahagian Samarahan.
Turut hadir Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan merangkap Ahli Parlimen Batang Sadong Dato Sri Nancy Shukri, ADUN Simunjan Awla Dris dan bekas ADUN Gedong Datuk Mohd Naroden Majais.
Oleh AZREEN KERIA