DATO Sri Fatimah memotong kek Majlis Ulang Tahun ke-10 Destiny For Children, semalam.
SIBU: Kerajaan Sarawak bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) jika ia diadakan pada musim tengkujuh.
Menteri Wanita, Awal Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Masyarakat, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, keputusan untuk mengadakan PRU15 adalah terletak kepada Kerajaan Pusat, bukannya Kerajaan Sarawak.
“Apa pun keputusan Kerajaan Pusat, kami bersetuju. Kami bersedia untuk menghadapi pilihan raya dan banjir,” jelasnya ketika ditanya pemberita mengenai kesiapsiagaan mereka menghadapi PRU15.
Menurutnya, kementeriannya bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) bersedia untuk menghadapi musim tengkujuh menerusi pangkalan hadapan yang merupakan pusat perpindahan sementara.
“Kita bersama JPBNS telah membuat simulasi banjir untuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Serian minggu lepas.
“Dari segi pembekal makanan, kita juga sudah bersedia di kawasan yang sudah boleh diakses melalui jalan raya. Jika banjir berlaku pembekal kami akan segera menghantar semua keperluan ke tempat yang terjejas.
“Bagi kawasan yang sukar dilalui seperti kawasan yang tiada jalan raya, masih menggunakan laluan sungai, kita telah sediakan pangkalan hadapan di sana yang juga sedia dengan makanan kering dan keperluan lain,” ujarnya.
Beliau memberi jaminan setiap persiapan telah dilakukan demi menghadapi musim banjir dan membantu rakyat.
“Kami telah membuat penilaian menyeluruh, sekiranya terdapat 40 keluarga di kampung, maka kita akan menyediakan jumlah yang mencukupi untuk mereka.
“Kami menilai dari semua sudut bilangan keluarga, kawasan dan umur penduduk, semua yang kami sediakan dengan teliti,” tegasnya.
Terdahulu, Fatimah merasmikan Majlis Ulang Tahun ke-10 Destiny For Children Sibu, hari ini.
Oleh AKUN GIMAN