SIMANGGANG, 23 Oktober: Seorang mangsa yang terperangkap di dalam lif di tingkat empat Batalion 10, Kompeni C, Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Sri Aman, Temudok, berjaya diselamatkan anggota bomba dalam kejadian tengah hari tadi.
Menurut kenyataan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 12.52 tengah hari.
Sejurus menerima maklumat, sepasukan anggota bomba diketuai Komander Operasi, PBK I Mohd Fadhli Buyong, digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira tiga kilometer dari balai.
Setibanya di lokasi, pasukan operasi mengesahkan terdapat seorang mangsa terperangkap di dalam lif di tingkat empat bangunan berkenaan.
Anggota bomba yang memakai peralatan perlindungan diri (PPE) lengkap kemudian melakukan penilaian keadaan sebelum menggunakan peralatan khas untuk membuka pintu lif bagi mengeluarkan mangsa.
Mangsa akhirnya berjaya dikeluarkan dengan selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.
Operasi ditamatkan selepas pihak bomba memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.
Operasi itu melibatkan jentera bomba (FRT) Scania dan kenderaan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS).
Tiada agensi lain dilaporkan terlibat dalam operasi menyelamat berkenaan.
Oleh Adi Safarman



