KUCHING: Soal sama ada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan tahun ini atau 2023, dijangka tidak akan memberi banyak impak kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Malah kata Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, isu banjir sekalipun juga adalah sesuatu yang tidak dapat dijangkakan.
Namun katanya, kesemua parti politik di seluruh negara sudah pasti bersedia untuk berdepan PRU-15.
“Tidak kiralah (PRU) awal (tahun ini) atau akhir (2023), ia tidak akan memberi banyak kesan kepada kami (GPS),” katanya selepas melancarkan Kuching Marathon di Padang Merdeka di sini awal pagi semalam.
Abdul Karim berkata, soal banjir atau tidak apabila mengadakan PRU-15 adalah sesuatu yang tidak dapat dijangkakan.
Hakikatnya kata beliau, apabila PRU-15 diadakan, semua parti politik sudah pasti bersedia.
“Kita bukan Tuhan yang tahu bila banjir akan melanda, banjir bukanlah sesuatu yang boleh dijangkakan.
“Sekarang ini, setiap kali PRU macam-macam spekulasi dikeluarkan, ada yang kata gempa bumi, taufan, banjir dan macam-macam lagi.
“Semua itu bukan sesuatu yang pasti, siapa tahu PRU kali ini mungkin diadakan di dalam suasana yang aman?
“Jadi anda tidak boleh jangka apa yang akan berlaku,”katanya selepas
Abdul Karim diminta mengulas ketetapan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO Jumaat lalu yang mahu Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat bagi membolehkan PRU-15 diadakan tahun ini.
Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata cadangan UMNO untuk pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU-15 diputuskan secara bersama di dalam mesyuarat MT UMNO.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada tarikh tertentu telah ditetapkan dan tidak menolak kemungkinan PRU-15 akan diadakan pada tahun ini. GPS mempunyai 18 kerusi Parlimen dan daripada jumlah itu, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mempunyai 13 kerusi, Parti Rakyat Sarawak (3), Parti Demokratik Progresif (2) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (1).
Oleh SHAHRUL QAIZAT//MOHD NEENATUL AIZAL