TINJAUAN… Datuk Abdullah Saidol hadir pada Majlis Lawatan Sambil Belajar Pelajar-Pelajar Praktikal UKAS
di TEGAS Digital Village.
KUCHING: Digital Village adalah kemuncak serta mercu tanda kesungguhan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam merangka dan menstruktur hala tuju ekonomi digital di negeri ini.
Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) telah ditubuhkan pada 2012 dan bukan sahaja menekankan digitalisasi malah banyak program yang telah mereka laksanakan.
“Saya berharap suatu hari kita boleh mengadakan persembahan kecil seperti persembahan teater di sini bagi memeriahkan lagi kampung digital kita ini.
“Banyak yang boleh TEGAS lakukan bersama dengan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) selain daripada kursus dan bengkel kecil yang boleh kita lakukan di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis Lawatan Sambil Belajar Pelajar-pelajar Praktikal UKAS di TEGAS Digital Village di sini, semalam.
Datuk Abdullah Saidol yang juga Setiausaha TEGAS bercadang untuk mengadakan beberapa program bersama TEGAS bagi mempromosikan Digital Village ini.
“Banyak program yang telah dilaksanakan oleh UKAS, jika terdapat pihak yang memerlukan perkhidmatan UKAS dalam menghebah inisiatif atau program boleh ajukan pada kami.
“Kerana itulah tugas hakiki UKAS, mewarwarkan apa sahaja yang berlaku di setiap pelosok dan penjuru Sarawak,” ujarnya lagi.
Lawatan tersebut bertujuan bagi memberi pendedahan kepada pelajar praktikal tentang dunia teknologi dan pendigitalan selain memperkenalkan warga kerja UKAS dan Tegas Digital Village.
Seramai 10 pelajar praktikal UKAS dan 10 kakitangan UKAS telah menyertai lawatan tersebut.
Turut hadir, Pegawai Tadbir Khas Datu Takun Sunggah mewakili Pemangku Pengarah UKAS, Samuel Simon, Pengurus Besar TEGAS Digital Village Manzoor Hayat Khan, Ketua-Ketua Seksyen serta pelajar praktikal.