KENANGAN… Dato Sri Fatimah Abdullah bergambar bersama agensi yang terlibat pada program Latih Amal dan
Simulasi Pusat Pemindahan Sementara Bencana Peringkat Negeri Sarawak 2022 selepas perasmiannya di Dewan
Serbaguna Ranchan, semalam.
SERIAN: Sebanyak 627 pusat pemindahan sementara (PPS) dengan kapasiti mampu menempatkan lebih 162,091 mangsa banjir disediakan di negeri ini.
Ia sebagai persediaan menghadapi monsun timur laut (MTL) yang diramal membawa hujan lebat dan ribut petir antara akhir bulan ini hingga Januari tahun depan.
Menteri Pembanguan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata selain itu sebanyak 25 pangkalan hadapan turut disediakan bagi menempatkan bekalan makanan kering untuk diagihkan kepada mangsa banjir.
“Persiapan ini adalah untuk membekalkan makanan ke lokasi yang sukar diakses terutama di pedalaman.
“Jumlah PPS itu boleh bertambah jika banjir berlaku di kawasan di luar jangka yang tidak termasuk dalam senarai kawasan kerap banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Latih Amal dan Simulasi PPS Bencana Peringkat Negeri Sarawak 2022 di Dewan Serbaguna Ranchan, di sini semalam.
Fatimah berkata, pihaknya juga bersedia untuk menghadapi situasi luar jangka seperti banjir yang tiba-tiba berlaku di kawasan yang tidak pernah berlaku bencana itu sebelum ini selain tanah runtuh yang menjejaskan kediaman penduduk.
Katanya, bagi tujuan itu PPS tambahan akan ditentukan oleh Residen serta Pegawai Daerah kawasan yang terbabit.
Dari segi aset katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) mempunyai 48 kenderaan yang boleh digunakan untuk operasi bencana, 10,000 khemah boleh lipat dan 272 petak mudah alih.
“Seramai 1,971 kakitangan dan sukarelawan JKMS telah bersiap sedia untuk digerakkan sekiranya berlaku bencana banjir.
“Seramai 285 orang yang terdiri daripada pegawai kaunselor dan pasukan sokongan psikologi akan membantu mangsa bencana yang terkesan dari segi emosi akibat bencana banjir,” katanya.
Beliau berkata sehingga kini, JKMS mempunyai satu depo berskala besar di Jalan Datuk Mohd Musa di Samarahan dan tiga depo mini di Miri, Kuching dan Samarahan, dengan semua barangan serta peralatan yang diperlukan disimpan dengan baik dan bersedia untuk dihantar semasa operasi banjir.
Turut hadir, Ahli Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus, Pengarah JKMS, Noriah Ahmad, Residen Serian, Selamat Yati Yaniah dan Pegawai Daerah Serian Lim Hock Meng.
Oleh NICKELYSON LAKUN