ALEXANDRA LORNA
KUCHING: Rakyat Sarawak digesa untuk memuat turun aplikasi CovidTrace di telefon bimbit masing-masing.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dato’ Sri Dr. Sim Kui Hian berkata, Kerajaan Sarawak melalui Sarawak Multimedia Authority (SMA) dan SAINS telah mewujudkan satu aplikasi iaitu CovidTrace.
“Aplikasi ini boleh dimuat turun melalui Google Play dan Apple Store oleh setiap rakyat Sarawak,” kata Sim.
Sim berkata demikian pada sidang media laporan Covid-19 di Sarawak di Bangunan Dun Lama, Petra Jaya semalam.
Beliau berkata, dalam pandemik Covid-19 terdapat tiga T iaitu tracing, testing dan treatment termasuk pengasingan.
“Kini, banyak sektor ekonomi sudah beroperasi semula di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kita perlu tahu tentang siapa yang ada disekeliling kita.
“Jika ramai rakyat Sarawak yang memuat turun aplikasi ini, informasi sesiapa yang berada disekeliling kita akan disimpan dalam data telefon selama 21 hari dan jika ada yang positif Covid-19, pihak Jabatan Kesihatan akan dapat memaklumkan anda untuk melakukan saringan dengan segera.
“Kalau kita tidak menggunakan aplikasi sebegini, kita sudah pasti tidak dapat mengingati sesiapa yang berada di sekeliling kita dalam masa 14 hari yang lalu,” jelasnya.
Beliau berkata, sebagai contoh, jika seseorang ke pasar raya, aplikasi tersebut secara automatik akan mengenalpasti nombor telefon sesiapa sahaja yang berada berhampiran dalam jarak 3 meter.
“Maklumat ini akan disimpan dengan selamat dalam data telefon dan hanya dapat diakses oleh pihak kesihatan bagi mereka mengesan dan membuat saringan kepada orang yang pernah berhampiran anda jika anda didapati positif Covid,” kata Sim.
Katanya ,aplikasi tersebut memerlukan pengguna membuka teknologi bluetooth di telefon bimbit mereka.
“Aplikasi ini adalah versi pertama bagi mengesan Covid, dan Kerajaan Sarawak akan mewujudkan versi kedua yang mana satu aplikasi dengan QR kod bar bagi keguanaan pemilik kedai.
“Melalui aplikasi itu, pihak kedai tidak perlu lagi bertanyakan nombor telefon dan nama secara manual namun ia dapat didapti melalui imbasan QR kod sahaja,” kata Sim.
Bagi memuat turun, untuk pengguna Android adalah https://play.google.com/store/apps/details?id=com.sains.safetrace dan bagi pengguna Apple dan iPhond puka adalah di https://apps.apple.com/my/app/covidtrace-sarawak/id1511451311.