SIMBOLIK PERASMIAN… Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah memalu gong sebagai tanda perasmian Pesta Pakan 2022 di Pentas Utama Tapak Pesta, Stadium Sukan Pakan, petang semalam.
PAKAN: Pelancongan adalah satu industri yang cukup besar sekali, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datoʼ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Katanya, banyak negara pada masa ini antaranya Thailand, Switzerland dan Maldives hidup dengan pelancongan.
“Tanpa pelancongan, ekonominya boleh runtuh. Sebab itulah dua tahun apabila dunia dikekangi oleh Covid-19, negara-negara yang bergantung dengan industri pelancongan sedikit sebanyak agak merasai kekangan tersebut.
“Alhamdulillah, kita di Sarawak tidak begitu 100 peratus bergantung kepada industri pelancongan.
“Pelancongan hanya merangkumi tidak sampai 20 peratus ekonomi kita kerana kita lebih bergantung kepada sumber-sumber lain seperti gas, minyak dan sebagainya,” katanya.
Abdul Karim yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Pakan di Pentas Utama Tapak Pesta, Stadium Sukan Pakan, petang semalam.
Tambahnya, beliau yakin industri pelancongan adalah satu industri yang dapat banyak menguntungkan masyarakat.
“Apa yang dapat kita lihat hari ini di Pesta Pakan adalah satu daripada produk industri pelancongan.
“Saya percaya bahawa ekoran daripada Pesta Pakan, ramai mereka yang berjual dalam kawasan ini akan sedikit sebanyak mendapat keuntungan dan mendapat kebaikannya.
“Semakin lama pesta seperti ini diadakan, semakin banyaklah keuntungannya. Selain daripada itu, penduduk tempatan juga dapat terhibur dan meraikan banyak manfat dari pesta-pesta seperti ini,” ujarnya.
“Sebab itulah, harapan kita untuk produk-produk yang bersangkut paut dengan pelancongan yang terdapat dalam kawasan daerah Pakan ini, kita perlu tingkatkan lagi,” ujarnya.
Jelasnya, ia perlu ditingkatkan supaya industri pelancongan dapat hidup sepanjang tahun.
“Bukan hanya untuk pesta sahaja, Pakan akan menjadi destinasi pelancong, sama ada pelancong dalam negeri ataupun pelancong daripada luar negeri untuk berkunjung ke kawasan ini dan melihat produk-produk yang ada dalam kawasan ini.
“Saya juga amat terpegun apabila saya dimaklumkan bahawa makam pejuang kita iaitu Rentap terdapat dalam Daerah Pakan ini.
“Itu sahaja boleh menjadi tarikan yang cukup tinggi dan cukup besar sekali untuk menarik minat prngunjung datang ke kawasan Pakan,” katanya lagi.
Ujarnya, ini kerana dalam Sarawak, penduduk yang paling ramai adalah penduduk Dayak.
“Apabila pahlawan masyarakat Dayak itu yang mana dimakamkan dalam kawasan ini dan kalau dapat diaturkan supaya dapat dibuat satu sambutan tiap-tiap tahun dan juga tempat pemakamannya itu diangkat menjadi satu tempat yang boleh dikunjungi dimana rakyat boleh memberi penghormatan kepada wira dan pejuang kita itu.
“Sebab itulah, harapan saya pekara macam itu dapat diangkat dan kementerian saya akan melihat bagaimana hendak mengangkatkan lagi supaya makam tersebut dapat diangkat sebagai satu tempat kunjungan masyarakat-masyarakat yang datang untuk melihat dimanakah Rentap dimakamkan,” tambahnya.
Oleh EARL ANEK