KENANGAN… Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah merakam kenangan besama Presiden Singapura Halimah Yacob semasa mengadap Seri Paduka di Hotel InterContinental Park Lane, London, United Kingdom, kelmarin. • Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Presiden Singapura Halimah Yacob di Hotel InterContinental Park Lane, London, United Kingdom (UK), Ahad lalu.
Majlis menghadap itu adalah atas titah perkenan Seri Paduka yang kini berada di London bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bagi menghadiri istiadat pemakaman negara, mendiang Ratu Elizabeth II yang berlangsung semalam.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata, kedua-dua pemimpin menyentuh berkenaan pengukuhan hubungan dua hala yang istimewa dan erat terjalin sekian lama antara Malaysia dan Singapura dalam sesi selama 45 minit bermula 9.30 pagi waktu tempatan.
“Seri Paduka dan Halimah turut menyentuh berkenaan usaha-usaha kerjasama mendalam antara Malaysia dan Singapura serta pelaksanaan pelbagai skim perjalanan merentas sempadan seperti Skim Laluan Hijau Timbal Balik, Skim Perjalanan Lengkap Vaksin dan Skim Pengaturan Ulang Alik Berkala.
“Seri Paduka turut menzahirkan setinggi penghargaan kepada kerajaan Singapura atas persilaan Perdana Menteri Singapura kepada Baginda untuk berangkat menghadiri perlumbaan Formula 1 Grand Prix Singapura 2022 yang akan berlangsung selama dua hari, bermula 1 Oktober ini,” katanya dalam hantaran di Facebook Istana Negara, malam Ahad lalu.
Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka berdua turut dijadualkan berangkat melakukan lawatan negara ke Singapura selama tiga hari bermula 25 Oktober selepas tarikh lawatan asal pada 19 September ditangguhkan berikutan lawatan khas Seri Paduka berdua ke London bermula 16 hingga 21 September bagi memenuhi jemputan rasmi kerajaan UK.
Sementara itu katanya, Seri Paduka berdua dijadualkan berangkat ke Majlis Resepsi Bersama Raja Britain, Raja Charles III di Istana Buckingham, London pada 6.00 petang waktu tempatan semalam.
“Ia diikuti keberangkatan Seri Paduka berdua ke Westminster Hall, London untuk memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Ratu Elizabeth II,” katanya. Selain itu katanya, Al-Sultan Abdullah juga dijadual mengadakan pertemuan dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah hari ini (20 September). – Bernama