BAKAR SEMANGAT … Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyerahkan bendera kepada Chef De Mission Datuk Gerald Rentap Jabu dalam majlis penyerahan Bendera Negeri Kepada Kontijen Sukma XX bertempat di sebuah hotel Kuching, semalam.
KONTINJEN Sarawak menurunkan 564 atlet untuk berentap dalam Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-20 yang diadakan bermula 16 hingga 24 September ini.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, mereka akan diiringi oleh 41 pengurus pasukan dan 107 pegawai sukan.
“Sarawak akan bertanding dalam 31 acara sukan berbeza dalam SUKMA tahun ini yang mana mempunyai sejumlah 426 perlawanan. Ia akan diadakan di lima zon atau lokaliti berbeza.
“Pertandingan di Zon 1 akan diadakan di Kuala Lumpur; Zon 2 di Bangi; Zon 3 di Bukit Jalil; Zon 4 di Shah Alam dan Zon 5 di mana acara pelayaran akan dipertandingkan ialah di Langkawi.
“Terdapat sejumlah 426 pingat emas, 426 pingat perak dan 508 gangsa untuk direbut dalam SUKMA tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Rasmi Bendera Negeri Kepada Kontinjen SUKMA XX MSN Sarawak 2022 di sebuah hotel di Kuching, semalam.
Kontinjen Sarawak akan diketuai oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan iaitu Datuk Gerald Rentap Jabu yang juga dilantik sebagai Chef-de-Mission (CDM).
Selain mempunyai pasukan sekretariat seramai 15 orang, Kontinjen Sarawak juga akan terdiri daripada 56 pegawai sukan tambahan daripada pelbagai persatuan sukan tempatan. Terdapat 10 pengamal media tempatan turut menyertai SUKMA ke-20.
“Atlet Sarawak telah bersedia 100 peratus untuk berentap dalam kejohanan ini. Kita akan membawa pulang gelaran juara keseluruhan,” katanya lagi.
Karim turut menasihati agar para atlet menjaga nama baik Sarawak sepanjang kejohanan ini berlangsung.
“Anda adalah duta Sarawak. Jangan lakukan perkara tidak baik yang boleh menjatuhkan nama Sarawak. Kita mahu dengar lagu Ibu Pertiwiku berkumandang di udara selama sembilan hari SUKMA berlangsung,” katanya.