PENJELASAN… Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali ketika wartawan selepas Program Break Off Samarahan 2022 di Aiman Mall, Kota Samarahan, semalam.
SAMARAHAN: Sarawak tetap dengan pendiriannya untuk mengenakan penggunaan pasport bagi penduduk Semenanjung yang memasuki negeri ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, hak imigresen itu terkandung dalam MA63.
“Orang nak soal, biarlah. Tetapi kita tetap dengan pendirian kita supaya perkara ini yang telah dipersetujui masa kita menandatangani MA63 akan tetap kita teruskan dan perjuangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian ‘Break Off Samarahan’ di perkarangan parkir kereta Aiman Mall Kota Samarahan di sini, semalam.
Beliau mengulas mengenai penggunaan pasport bagi penduduk Semenanjung memasuki Sabah dan Sarawak seperti dibangkitkan wakil rakyat di Parlimen baru-baru ini dan viral di media sosial.
Hasidah menjelaskan, penggunaan pasport adalah hak Sarawak seperti termaktub dalam MA63 bagi mempertahankan hak imigresen negeri ini.
“Maksudnya kita tidak mahu hak imigresen Sarawak dipersoalkan kerana ia merupakan perkara yang tidak boleh dirunding di bawah MA63.
Oleh MOHD NEENATUL AIZAL