TERTARIK … Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalulail bersama Raja Perempuan Perlis
Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid berkenan melawat konti Perlis FM selepas merasmikan Kompleks
Jabatan Penyiaran Negeri Perlis sekali gus memperkenankan nama barunya iaitu Kompleks Penyiaran Tuanku
Syed Putra (Kompleks PUSPA) semalam. Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.
• Foto BERNAMA
KANGAR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) sedang mengkaji untuk memodenkan lima lagi Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), kata menterinya Tan Sri Annuar Musa.
Beliau berkata, perubahan teknologi semasa memerlukan peningkatan kualiti prasarana penyiaran bagi memberi perkhidmatan yang lebih berkualiti kepada Keluarga Malaysia.
“Kita masih mengkaji beberapa pendekatan yang bersesuaian untuk menampung kos memodenkan RTM Melaka, Johor, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan,” katanya, pada sidang media sempena perasmian Kompleks Penyiaran Tuanku Syed Putra di sini semalam.
Terdahulu Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan merasmikan serta menamakan kompleks penyiaran baharu RTM Perlis itu sebagai Kompleks Penyiaran Tuanku Syed Putra.
Berangkat sama Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin, Ketua Setiausaha K-KOMM Datuk Seri Mohammad Mentek, Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man dan barisan Exco kerajaan negeri.
Annuar berkata, pihaknya belum mengenal pasti kos bagi projek naik taraf lima RTM tersebut.
“Yang penting adalah pembangunan itu dapat dilakukan dengan cepat dan kita tidak tolak kemungkinan untuk melakukannya secara penswastaan dan tidak perlu menunggu peruntukan sepenuhnya daripada kerajaan,” katanya.
— Bernama