JABA Rumau mengusahakan tanah di sekeliling rumah untuk bercucuk tanam secara kecil-kecilan.
BAK kata pepatah orang tua-tua, berbudi kepada tanah akan membuahkan hasil yang lumayan.
Itulah yang diamalkan oleh seorang warga emas yang hampir mencecah usia 80 tahun di Kampung Pemindahan apabila memanfaatkan tanah di sekeliling rumahnya dengan bercucuk tanam pelbagai jenis sayuran.
Jaba Rumau yang asalnya dari Kampung Seberang Marudi telah berpindah ke Kampung Pemindahan sejak berpuluh tahun yang lalu.
Sejak kematian suaminya Jaba berkata dia tidak akan berpeluk tubuh dan selagi masih ada tenaga dan tulang empat kerat, dia masih mengusahakan pelbagai tanaman dengan memanfaatkan halaman rumah untuk dijadikan kebun sayur.
Malah dengan bercucuk tanamlah menjadi sumber rezeki dia untuk menjana pendapatan bagi kelangsungan hidup dirinya dan seorang anaknya.
“Ruang tanah yang terhad bukanlah alasan untuk tidak menjalankan akitiviti berkebun dan saya manfaatkan halaman rumah dan sekitar kawasan rumah yang luas untuk bercucuk tanam kerana aktiviti ini boleh menjimatkan wang dan mampu menjana pendapatan sampingan,” katanya.
Dia bersyukur kerana halaman rumahnya agak luas dan tanahnya juga amat sesuai untuk bercucuk tanam pelbagai jenis tanaman dan sayuran.
“Di atas tanah inilah saya dapat mengusahakan pelbagai jenis sayur-sayuran seperti kangkung, sawi, cangkuk manis, terung, kacang bendi, timun dan tanaman yang lain,” kata Jaba.
Ujarnya dengan hasil tanaman ini turut membantu sedikit keperluan dapur untuk mereka dua beranak.
Hasilnya selain untuk kegunaan sendiri dan jika ada lebih, Jaba menjual kepada penduduk-penduduk sekitar kampung.
Biarpun hasil pulangan tidak seberapa namun ia cukup unuk menambah perbelajaan harian mereka.
Jaba bersyukur meskipun kehidupan mereka dihimpit pelbagai kekurangan namun dengan hasil berucuk tanam di halaman rumah dapat meringankan bebannya.
Oleh JIKU JUGUONG