UNTUK ALBUM… Datuk Francis Harden Hollis bersama peserta merakamkan gambar kenangan pada Kejohanan Tinju Terbuka Sarawak dan Remaja Tertutup 2022 di Stadium Tertutup Sri Aman, kelmarin.
PERSATUAN tinju bagi peringkat negeri dan bahagian Sarawak perlu proaktif menganjurkan pertandingan bagi memilih atau mencungkil bakat-bakat baharu di kawasan masing-masing.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis berkata, ia adalah bagi menambah bilangan atlet tinju dan pelapis kepada senior.
“Penganjuran kejohanan sukan tinju adalah amat penting kerana ia merupakan satu ‘walk way’ bagi melahirkan jaguh seperti peninju legenda, Sapok Biki dan muka baharu iaitu Daelonieal McDelon Bong atau ‘Kilat Boy’.
“Sapok misalnya pemenang pingat Emas pada Sukan Komanwel 1998 manakala Daelonieal pula meraih dua kejuaraan iaitu pada Kejohanan Tinju Profesional Pakistan pada 11 Jun lepas dan pada Kejohanan Golden Gloves di Perlis pada 26 Jun,” katanya.
Harden berkata demikian ketika berucap merasmikan Kejohanan Tinju Terbuka Sarawak dan Remaja Tertutup 2022 anjuran Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA) dan Perbadanan Sukan Negeri Sarawak (PBNS) di Simanggang, kelmarin.
Malah, beliau berharap agar Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di Sri Aman menghebahkan berita mengenai penganjuran kejohanan tinju dalam kalangan penduduk di kawasan tadbir mereka.
“Kejohanan Tinju Terbuka Sarawak 2022 diadakan di Stadium Tertutup Sri Aman bermula dari 15 Ogos hingga 21 Ogos ini dengan KMKK boleh membawa anak-anak buah mereka terutamanya belia dan pelajar sekolah untuk menyaksikan acara ini.
“Dengan berbuat demikian maka KMKK akan dapat memupuk minat untuk menyertai sukan tinju dalam kalangan belia dan seterusnya membantu melahirkan jagoan dalam sukan berkenaan di Sri Aman pada masa akan datang,” katanya.
Terdahulu seramai 114 peninju dari satu pasukan negara luar, tiga pasukan negeri, tujuh pasukan daerah serta lima kelab berentap merebut kejuaraan dalam Kejohanan Tinju Terbuka Sarawak 2022 dalam dua kategori iaitu Elite dan Remaja.
Pasukan berkenaan terdiri dari Singapura, Sarawak, Johor, Terengganu, Saratok, Samarahan, Sri Aman, Serian, Limbang, Kapit, Bintulu, MSN, 10 RS B, 10 RS, Black Eagle dan Asajaya.
Hadir sama Timbalan Residen Sri Aman merangkap Penasihat Kejohanan Tinju Terbuka Sarawak dan Remaja Tertutup 2022, Elvis Didit, Pegawai Daerah Sri Aman, Shariff Bujang dan Presiden SABA, Dato Rahman Lariwoo.
Timbalan Presiden Persekutuan Tinju Malaysia, Mejar (B) Wan Abdul Hamid Wan Mahmood, Ketua Pegawai Eksekutif PBNS, Morsidi Patrick, Pengerusi Pengelola Kejohanan Tinju Terbuka Sarawak dan Remaja Tertutup 2022, Dr Robert Lingga Mangge dan Arnagirenthan Vadivel @ Mr Steve dari Persekutuan Tinju Singapura juga hadir pada majlis itu.
Oleh VALENTINE NGUMBANG