KENANGAN…. Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama tetamu kehormat merakam gambar bersama di Bangunan Dewan Undangan Negeri semasa Berjalan Teguh Bersama Keluarga Malaysia oleh Premier Sarawak di Tebingan Kuching semalam.• Foto ANDRE OLIVEIRO
KUCHING: Tarian Zumba yang berasal dari Bogota tetapi semakin popular dalam kalangan warganegara, turut diselitkan dalam akvititi sempena Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 Peringkat Negeri Sarawak, semalam.
Lebih meriah apabila Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut menunjukkan bakat berzumba dengan gerakan tarian diiringi irama muzik.
Turut serta ialah dif-dif kehormat yang lain dalam acara aktiviti Zumba Keluarga Malaysia yang disertai sekitar 200 peserta dari pelbagai agensi kerajaan dan orang awam.
Terdahulu, Abang Johari menyempurnakan acara pelepasan Berjalan Teguh Bersama Keluarga Malaysia merentasi Jambatan Darul Hana, Kuching, yang menyeberangi Sungai Sarawak.
Premier Sarawak mengetuai acara berjalan kaki sejauh 650 meter atas jambatan bersama Keluarga Malaysia dari Tebingan Sungai Kuching sehingga ke Dewan Undangan Negeri (DUN) sambil mengibarkan jalur gemilang.
Sementara itu, menurut pegawai Jabatan Penerangan, Izawati Eni, Konvoi Kembara Merdeka yang bermula kelmarin akan merentasi kesemua 33 daerah di Sarawak.
“Konvoi ini disertai 33 kenderaan terdiri daripada pelbagai agensi termasuk Jabatan Penerangan.
“Konvoi Kembara Merdeka ini akan singgah di 37 lokasi persinggahan dengan jarak perjalanan sejauh lebih kurang 4,025 kilometer bermula dari Telok Melano sehinggalah ke Lawas.
“Konvoi ini akan berpatah balik ke Betong pada 31 Ogos untuk bersama memeriahkan Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak,” katanya ketika ditemui selepas program Zumba Keluarga Malaysia di Tebingan Kuching, semalam.
Orang ramai yang turut serta dalam acara perlepasan Berjalan Teguh Bersama Keluarga Malaysia merentasi Jambatan Darul Hana, Kuching kesemuanya menunjukkan semangat patriotisme.
Turut hadir, Speaker DUN Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar.
Oleh AZREEN KERIA & SHAHRUL QIZAT