RAKAM KENANGAN… Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bergambar bersama para hadirin selepas Majlis Perasmian Pembukaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak Seksyen Pujut (WPC11) di Miri, semalam. Turut hadir Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri Kanan Kerja Raya Dato’ Sri Fadillah Yusof. • Foto Bernama
MIRI : Kerajaan Persekutuaan meluluskan Projek Fasa 2 Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) serta Projek Lebuh Raya Trans Borneo (LTB), dan pembinaannya akan bermula seawal tahun depan.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata projek ini bakal menghubungkan Miri, Limbang dan Lawas, seterusnya ke Sabah melalui dua opsyen jaringan jalan raya.
“Pengguna jalan raya dari Miri ke Limbang dan Lawas boleh melalui Brunei menggunakan laluan Projek LTB sepanjang 96 kilometer (km) yang bakal ditambah baik kepada dua lorong dua hala.
“Bagi mereka yang tidak mahu melalui Brunei, boleh menggunakan jajaran Fasa 2 Projek SSLR sepanjang 326km iaitu kesinambungan Fasa 1 Projek SSLR dari Simpang Gelugus ke Long Lopeng sepanjang 77km,” katanya.
Beliau berkata demikian pada perasmian pembukaan laluan Seksyen Pujut WPC11 Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, di sini semalam.
Turut hadir Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri Kanan Kerja Raya Dato Seri Fadillah Yusof.
Ismail Sabri berkata, penelitian teknikal bagi projek Fasa 2 SSLR dan LTB yang menghubungkan Miri, Limbang serta Lawas itu kini di peringkat akhir, dengan pembinaannya dijangka memakan tempoh selama tiga hingga lima tahun.
Beliau berkata, projek itu melibatkan kos berjumlah RM10.62 bilion yang bakal membolehkan komuniti dan penduduk di Miri, Limbang dan Lawas menikmati jaringan jalan raya yang lebih baik, selamat dan selesa.
“Fasa 2 Projek SSLR khususnya akan memberi manfaat
kepada penduduk tempatan di sekitar Mulu, Long Seridan, Nanga Medamit, Long Lopeng, Ba’kelalan dan Merarap yang kini bergantung kepada jalan balak sebagai jalan perhubungan utama.
“Pelaksanaan projek seperti ini membuka lebih banyak peluang kepada Keluarga Malaysia di Sarawak untuk terlibat sama ada sebagai perunding, pembekal mahupun kontraktor,” katanya.
Beliau berkata, Ini sekali gus mewujudkan kitaran ekonomi tempatan selain melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi dan memberi sumbangan kepada pembangunan negeri ini.
Ismail Sabri berkata, pembangunan Projek Lebuh Raya Pan Borneo adalah hasil perancangan rapi dan holistik antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Sarawak.
Oleh ADUM LIU