JAWATANKUASA SURAU… Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyerahkan surat pelantikan pengurusan Surau Darul Ehsan Tun Abang Haji Openg di Limbang, semalam.
LIMBANG: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semalam memberi amaran supaya tiada budaya ‘anai-anai’ dalam pentadbiran negeri ini.
Katanya, Sarawak akan sentiasa selamat selagi tidak ada budaya negatif itu yang hanya cantik di luar tetapi menyebabkan kerosakan dalaman pada pentadbiran negeri.
“Negeri yang mempunyai pemimpin yang bersifat ‘anai-anai’ akan memberi kesan buruk kepada rakyat.
“Alhamdulillah negeri Sarawak tidak mempunyai ‘anai-anai’,” katanya pada majlis perasmian Surau Darul Ehsan Tun Abang Haji Openg Kampung Bunga Raya di sini semalam.
Abang Johari bagaimanapun berkata, Sarawak mempunyai kestabilan politik kepada kepemimpinan yang mendapat kepercayaan rakyat.
“Kita mempunyai kestabilan politik yang baik dan kita berdoa agar Kuala Lumpur mempunyai politik yang stabil…. jangan ada Perdana Menteri dalam tempoh tiga tahun, ini berbahaya.
“Tetapi Sarawak mempunyai kepemimpinan (yang baik) dan rakyat memberi kepercayaan kepada ‘anak Limbang’ ini mentadbir Sarawak,” katanya.
Beliau juga amat yakin dengan barisan kepemimpinan sedia ada yang perlu dilatih supaya melalui latihan itu akan membentuk kepemimpinan berkualiti tinggi kerana mereka tidak mempunyai sifat ‘anai-anai’ dalam mentadbir negeri ini.
Abang Johari berkata, selepas beliau mengambilalih kepemimpinan daripada Pehin Sri Adenan Satem dan mendapat keyakinan rakyat berbilang kaum dan agama, ia terus memberi semangat untuk bekerja keras membangunkan Sarawak.
Katanya, walaupun baharu mentadbir Sarawak dalam tempoh lima tahun tetapi beliau mempunyai perancangan untuk membangunkan infrastruktur jalan raya hingga ke Lawas di bawah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) dengan peruntukan RM1.5 bilion untuk membangunkan bahagian ini.
Mengakui kelewatan beberapa projek utama di Limbang seperti projek Tebingan Sungai Limbang dan jambatan Limbang yang dilihat mula menampakkan kemajuan.
“Jika siap jambatan, ada pelan utama untuk Limbang, bagi pembangunan di kawasan di seberang sungai.
“Ini pelan utama jangka panjang, dengan ada jalan yang akan dibangunkan dibawah NRDA, sudah tentu Limbang dan Lawas akan disambung dengan jalan baik termasuk di Gunung Buda,” katanya.
Abang Johari yang lahir di Limbang turut mengimbas kenangan ketika mengikut ayahnya sebagai pegawai daerah ketika berkhidmat hingga 1951.
“Umur lapan bulan saya balik ke Kuching. Saya masih ingat bidan yang bernama mak Mariam menyambut kelahiran saya di dunia, terima kasih keluarga mak Mariam,”katanya terharu.
Beliau berkata, Sarawak mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama, hidup dalam keadaan aman dan menghormati satu dengan lain.
“Dalam Islam kita perlu adil dengan semua rakyat dibawah pemerintahan dan jagaan kita.
“Dalam sejarah Islam ada Piagam Madinah, Rasulullah mewujudkan satu cara memerintah dan menjaga rakyat berbilang kaum,” katanya.
Beliau berkata, Sarawak tidak mempunyai masalah dari sudut mentadbir dan membangun rakyat berbilang kaum dan agama,hingga hari ini kerana berpandukan Piagam Madinah, dalam memberi khidmat bakti kepada Sarawak.
Abang Johari juga optimis, Sarawak akan mampu melangkah jauh dengan ada modal insan yang berpengetahuan tinggi dan intelek yang lahir daripada pembiayaan biasiswa Ibnu Khaldum.
Selain itu, katanya, pembentangan usul Dana Berdaulat Negeri Sarawak pada November ini juga akan memastikan masa depan Sarawak dari sudut ekonomi akan terus kukuh demi masa depan generasi anak-anak Bumi Kenyalang.
Hadir sama Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah; Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Hasbi Habibollah; Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbng; Residen Bahagian Limbang Sebi Abang dan kenamaan lain.
Oleh ADENG EDRUS