KAMI JUARA… Pemain Kuching FA bergambar bersama Dato Sri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah dan tetamu lain.
PASUKAN Kuching FA mencipta sejarah tersendiri muncul juara Kejohanan Bola Sepak Liga Wanita Nasional (LWN) Zon Sarawak 2022.
The City Girls kendalian jurulatih berpengalaman, Suffian Ibrahim berjaya mencatat kemenangan selesa (3-1) keatas tuan, Samarahan FA pada aksi final yang berlangsung di Stadium Mini Unimas, Kota Samarahan Ahad lalu.
Tiga gol skuad warga kota itu dijaringkan oleh Nina Shakila Abdul Kadir minit ke-9, Ashikin Mohammad Anuar minit ke-52 dan Rabiah Bishriyah Abdul Kadir minit ke-90)(+1).
Gol tunggal pasukan Samarahan FA dijaringkan oleh Bibiana Kula Ak Jeluing minit ke-74.
Kejayaan itu membolehkan pemain Kuching FA membawa pulang wang tunai RM5,000 beserta piala dan pingat.
Manakala, wang RM3,000, piala dan pingat diterima pasukan Samarahan FA selaku naib juara.
Lebih manis mengiringi kejayaan skuad Kuching FA apabila dua pemain mereka iaitu Nur Salina Bel dan Rabiah Bishriyah Abdul Kadir masing-masing memenangi anugerah penjaring terbanyak dan pemain terbaik yang menerima hadiah berupa piala.
Dalam pada itu, pasukan Samarahan FA dipilih sebagai pasukan terbaik.
Sementara itu, pasukan Sibu FA menduduki tempat ketiga dan turut membawa pulang wang tunai RM2,000 selain piala dan pingat selepas menumpaskan Serian FA (1-0) ditempat keempat yang turut membawa pulang wang tunai RM1,000 dan piala.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah.
Turut hadir Residen Bahagian Samarahan, Haji Ibrahim Lumpu, Pengarah Jabatan Belia Dan Sukan (JBS) Negeri Sarawak, Lamat Nyalau, Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Morshidi Fredrick, Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Nancy Jolhi, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Sivasundaram a/l Sithamparam Pillai, Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais serta barisan exco badan induk berkenaan.
Enam pasukan berentap pada saingan yang bermula pada 27 Julai lalu. Pasukan terbabit ialah Samarahan FA, Serian FA dan Betong FA (Kumpulan A).
Selain tiga lagi pasukan iaitu Sarikei FA, Sibu FA dan Kuching FA (Kumpulan B).