PROJEK tanaman 30,000 pokok nanas jenis Morris di kawasan Hulu Oya yang bermula pada awal 2021 kini telah mengeluarkan hasil.
Ahli Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), Kaunselor Henry Kanyan Vincent Rawing berkata, projek tanaman nanas tersebut disertai oleh penduduk Rumah (Rh) Seliau, Nanga Tebalai, Hulu Oya, iaitu perjalanan selama satu jam dari pekan Stapang melalui jalan darat dan tiga hingga empat melalui pengangkutan sungai.
“Kita telah membuktikan kepada Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) melalui bantuan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Tamin, Christoper Gira Sambang.
“Beliau (Gira) merupakan seorang wakil rakyat yang berpandangan jauh bahawa projek pertanian harus dibangunkan di peringkat luar bandar. Apa yang kami hendak bawakan ialah ucapan ribuan terima kasih kepada Kerajaan GPS atas bantuan melalui ADUN Tamin, dimana projek pertanian sudah menjadi kenyataan,” jelasnya.
Katanya, fasa kedua projek tanaman nanas telah dirancang bermula pada awal Ogos, dengan sasaran sebanyak 150,000 hingga 200,000 pokok nanas, projek tersebut diusahakan oleh penduduk Rh Seliau dan juga sesiapa yang berminat.
“Kita merayu kepada kerajaan supaya menyediakan ‘check point’ atau satu tempat untuk pengumpulan penjualan nanas.
“Kita juga merayu kepada kerajaan untuk menjadi orang tengah antara petani dan penjual. Penjualan buah nanas memerlukan orang tengah untuk menghantar hasil yang dituai kepada pihak kilang dan penjual-penjual yang lain.
“Kita di Hulu Oya telah berjaya melalui inisiatif pertanian yang dibangunkan oleh wakil rakyat di kawasan ini, dengan dibantu oleh saya sebagai ahli MDLBS bagi kawasan Ulu Oya.
Kaunselor Kanyan juga sebagai Pengerusi Persatuan Kemajuan Kawasan Batang Oya, Sekuau dan Pakoh bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pembangunan nanas di kawasan Ulu Oya dan program-program pertanian yang dirancang.
“Dari segi kemudahan infrastruktur kita berharap kerajaan dapat menyediakan kemudahan jalan raya untuk memudahkan pihak rumah panjang, pembekal dan penjual umtuk terus berhubung dengan pihak penanam di kawasan Ulu Oya.
“Kita mohon supaya kemudahan akses jalan raya dapat dilaksanakan dengan baik demi membantu kelangsungan ekonomi rakyat di Rh Seliau, Nanga Tebalai Ulu Oya,” ujarnya.
Menurutnya, projek nanas ini dapat membantu pasaran tempatan dimana ia dapat dijual sekitar kawasan Stapang, Selangau dan Sibu.
“Di Sibu kita ada pembekal tetapi mereka tidak dapat membeli buah nanas dalam jumlah yang banyak, mereka hanya membeli untuk perniagaan runcit dan tamu.
“Kita memerlukan pertolongan Kerajaan GPS melalui Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak (MANRED) dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia untuk membantu dari segi pemasaran.
“Kita sudah menyahut seruan kerajaan untuk mewujudkan pertanian berasaskan makanan daripada nanas dari kawasan Hulu Oya iaitu nanas jenis Morris.
“Kita juga telah berjaya menanam dan menghasilkan buah nanas, tetapi persoalannya sekarang dimana kita hendak memasarkannya dalam jumlah yang banyak.
“Kalau pengeluaran buah nanas hanya 1,000 hingga 2,000 tidak apa kita boleh jual di pasaran tempatan. Tetapi kalau buah nanas melebihi 30,000 di mana kita hendak memasarkannya
“Jadi kita merayu kepada kerajaan sekiranya ada rancangan untuk pekebun kecil nanas ataupun apa-apa jenis tanaman sila bantu pekebun kecil untuk memasarkan produk pertanian mereka dan memastikan kelangsungan produk pertanian terus meningkatkan ekonomi rakyat di kawasan luar bandar.,” ujarnya lagi.
Oleh AKUN GIMAN