DIBUKA SEMULA… Kelihatan kenderaan dari Brunei di Pusat Pemeriksaan Sungai Tujoh Miri menunggu kelulusan
imigresen Malaysia sebelum memasuki Miri.
MIRI: Pembukaan semula di hari pertama sempadan jalan darat Brunei dan Malaysia (Sarawak) di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Tujoh berjalan lancar pada pagi semalam.
Tinjauan Utusan Sarawak di sini sekitar 8.30 pagi semalam di pusat pemeriksaan mendapati lebih enam kaunter beroperasi sekali gus melancarkan pergerakan kenderaan keluar masuk.
Dalam pada itu, orang ramai juga berjalan kaki dari sebelah arah Brunei melintasi sempadan untuk memasuki Miri (Sarawak).
Terdahulu, sempadan Brunei ditutup sejak tiga tahun lalu berikutan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia.
Majoriti melintasi sempadan adalah rakyat Brunei termasuk rakyat Sarawak yang bekerja di Brunei kelihatan begitu teruja dengan pembukaan sempadan berkenaan.
Mohd Nazri, 34, yang ibunya merupakan warga Miri dan bapanya warga Brunei berkata, keputusan pembukaan semula sempadan melegakan sekali gus dapat melawat sebelah ibunya selepas tiga tahun.
“Bagi saya, ia seperti ‘Balik Kampung’ kerana sekarang saya boleh pulang ke Miri melawat keluarga ibu saya di sini,” katanya.
Sementara itu, Mohd Hilham Zaini, 40 tahun (warga Brunei) berkata bahawa, beliau lega kerana beliau boleh melawat Miri sekali lagi selepas tiga tahun.
“Sudah tentu kami gembira dan lega dengan keputusan itu kerana akhirnya sempadan dibuka semula dan kami dapat berkumpul semula dengan rakan dan keluarga di sini,” katanya.
Sempadan Brunei dibuka setiap hari dari 6.00 pagi hingga 6.00 petang.
Sementara itu, seorang warga Miri, MacDonald Bangi merupakan pekerja minyak dan gas di Brunei berkata, proses memasuki pusat pemeriksaan dari kedua-dua belah pihak awal pagi semalam berjalan lancar.
“Saya tiba di pusat pemeriksaan ICQS Sungai Tujoh sekitar 9.30 pagi tadi (semalam).
“Tiada kesesakan langsung dari kedua-dua belah pusat pemeriksaan dan ia mengambil masa kurang daripada 15 minit untuk keseluruhan proses,” katanya.
Oleh ADUM LIU