DATO Sri Richard Riot Jaem tiba di dewan yang baharu dinaik taraf di kampung Impur Niyun, Tebedu baru-baru ini.
TEBEDU: Gabungan Parti Sarawak (GPS) mesti menang di ketiga-tiga kawasan Parlimen majoriti Bidayuh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang, kata Ahli Parlimen Serian, Dato Sri Richard Riot Jaem.
Beliau berkata, ini bermakna GPS mesti mendapatkan semula kerusi Mas Gading dan Puncak Borneo yang tewas pada PRU 2018 sambil berjaya mengekalkan kerusi Serian.
“Ini adalah penting bagi GPS memenangi tiga kerusi ini bagi memastikan kawasan ini diwakili kerajaan.
“Saya percaya dalam PRU akan datang, tidak ada parti yang cukup kuat untuk membentuk kerajaan sahaja tetapi akan ada kerajaan campuran. Oleh itu, adalah penting tiga kerusi ini dimenangi oleh GPS,” katanya ketika berucap merasmikan acara bertemu pemimpin di Kampung Tebedu Mawang baru-baru ini.
Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Serian sejak 32 tahun lalu, secara peribadi berpendapat ada kemungkinan PRU-15 diadakan seawal tahun ini.
“PRU-15 nanti adalah sesuatu yang bermakna, kerana ia akan menentukan kestabilan politik negara kita yang bercelaru politik sejak keputusan PRU-14 pada 9 Mei 2018.
“Di Sarawak, kita bertuah kerana wujud kestabilan politik di bawah GPS melalui kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. Dan kestabilan politik telah menarik ramai pelabur asing datang ke Sarawak,” katanya.
Tambahnya, Tebedu boleh mendapat manfaat daripada limpahan ekonomi yang dihasilkan oleh pemindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan kerana lokasinya berhampiran sempadan.
“Saya berharap Perjanjian Perdagangan Sempadan sedia ada akan dikaji semula untuk membolehkan jumlah perdagangan yang lebih besar, dan untuk peningkatan kemudahan yang diluluskan untuk Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu dipercepatkan.
“Dalam kapasiti saya sebagai Duta Khas Perdana Menteri, saya telah bertemu pelabur berpotensi dari Jepun, Korea Selatan dan Taiwan. Baru-baru ini saya membawa beberapa wakil syarikat di Korea Selatan dan duta negara melawat Serian malah turut membawa mereka menyertai sambutan Gawai,” katanya.
Sementara itu, Ketua Kampung Tebedu Mawang, Impur Niyun berharap Riot akan dicalonkan semula oleh GPS untuk mempertahankan Serian pada PRU-15.
“Sekiranya beliau sebagai penyandang dilantik semula, kami di Kampung Tebedu Mawang akan memberikan sokongan penuh kepada beliau. Malah beliau tidak pernah kalah dari segi undi di Tebedu. Semoga beliau boleh menang lagi dan dilantik semula sebagai Menteri di Putrajaya,” katanya.
Oleh JEAKQLEYN YACHO