ZARINA ABDULLAH
KUCHING: Rakyat diminta untuk tidak melakukan perjalanan merentas bahagian dan negeri menjelang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Gawai nanti.
Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis menasihatkan masyarakat untuk kekal di mana mereka berada sekarang pada musim perayaan nanti bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
“Penduduk di bandar diminta untuk tidak melakukan perjalanan ke luar bandar pada Hari Raya dan Hari Gawai nanti, begitu juga sebaliknya bagi mereka yang mahu ke bandar.
“Mereka yang tinggal di bandar, kekal sahaja di bandar, manakala mereka yang dikampung, harus terus dikampung,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangih Raya-Gawai di Wisma Bapa Malaysia, semalam.
Tambahnya, usaha ini penting dan semua orang harus memainkan peranan bagi mengekang penularan Covid-19 kerana wabak itu masih ada.
“Kita harus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan mengamalkan gaya hidup norma baharu sehingga kita dapat menghentikan Covid-19,” tegasnya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas semalam berkata, sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Gawai di negeri ini hanya dibenarkan pada hari pertama dengan kapasiti seramai 20 orang ahli keluarga dan jiran terdekat.
Selain itu, katanya antara aktiviti yang tidak dibenarkan semasa perayaan adalah perjalanan balik ke kampung yang melibatkan pergerakan antara daerah.
“Tiada aktiviti kunjung mengunjung ke rumah saudara mara atau sahabat handai, tiada rumah terbuka perayaan, tiada bersalaman dan bersentuhan serta tiada menziarah kubur, Tahlil dan kenduri Hari Raya,” tegas Uggah.