KUCHING: Penularan wabak cacar monyet telah menarik perhatian Timbalan Premier, Datuk Dr. Sim Kui Hian untuk mengingatkan rakyat Sarawak agar memainkan peranan dan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri(JKN) Sarawak dalam memerangi wabak tersebut.
Menurut Dr Sim Kui Hian, Pertubuhan Kesihatan Dunia telah mengumumkan cacar monyet sebagai kecemasan global yang ketiga selepas Polio dan Covid-19.
Oleh itu, JKN Sarawak ingin menasihatkan orang awam untuk mengambil langkah berjaga- jaga bagi mengurangkan risiko jangkitan.
Menurut JKN Sarawak, antara peranan yang perlu dimainkan oleh orang awam adalah orang awam yang mempunyai gejala perlu mendapatkan rawatan dan mengesahkan diagnosis oleh pengamal perubatan.
“Pesakit yang dijangkiti haruslah mengisolasi diri daripada orang lain yang mungkin berisiko mendapat jangkitan dan kontak kepada kes cacar monyet diminta untuk menjalani isolasi kendiri di rumah dan memantau tanda serta gejala cacar monyet selama 21 hari dari tarikh terakhir pendedahan kepada kes. Selepas itu, mereka perlu mendapatkan nasihat daripada pegawai kesihatan di fasiliti kesihatan terdekat.
“Penjaga yang menjaga pesakit cacar monyet adalah di nasihatkan memakai peralatan perlindungan diri (PPE) semasa mengendalikan pesakit,” menurut JKN Sarawak dalam satu kenyataan media.
JKN Sarawak juga menasihati agar orang awam mengelak kontak kepada sebarang bahan, seperti cadar katil serta pakaian yang telah digunakan oleh pesakit cacar monyet dan haiwan yang berpotensi untuk membawa penyakit tersebut.
Orang awam juga dinasihati agar mengamalkan penjagaan kebersihan tangan yang betul selepas kontak dengan pesakit atau haiwan yang dijangkiti, cuci tangan dengan air bersih dan sabun atau gunakan cecair pembasmi kuman berasaskan alkohol.
Oleh SHAHRUL QAIZAT