PUAS HATI… Ronney Bukong menyampaikan lukisan telah disiapkan kepada pelanggan.
SEBUAH gambar meskipun ia statik namun mampu merungkai beribu pesanan dan mesej tersirat daripada pengkarya yang menghasilkannya.
Menerusi perkongsian yang dibuat menerusi Facebook oleh Ronney Bukong, 36, penulis tertarik dengan mesej tersirat yang disampaikan secara tidak langsung oleh beliau menerusi lukisan digital yang dihasilkan sempena Hari Sarawak baru-baru ini.
Bertemakan diversiti dalam budaya di Sarawak, Ronney yang merupakan seorang penjawat awam di Unit Penerangan dan Komunikasi Sarawak (UKAS) berjaya menghasilkan lukisan digital yang menonjolkan keindahan kepelbagaian bangsa di negeri ini.
“Lukisan ini merupakan bahagian yang pertama memandangkan saya akan melukis lebih banyak lagi lukisan digital bangsa lain dengan pakaian tradisional masing-masing dan kini saya juga dalam proses menyiapkannya.
“Ia merupakan keinginan saya dari dahulu untuk melukis karikatur menggunakan pakaian tradisional pelbagai bangsa di Sarawak dan saya berbesar hati berkongsi sebahagian lukisan yang telah siap sempena Hari Sarawak,” ujarnya yang tidak menyangka perkongsian tersebut telah mendapat tanda suka dan dikongsikan ramai orang dalam Facebook.
Mempunyai hobi melukis sedari kecil lagi, anak bongsu daripada lima beradik yang berasal dari Engkelili tersebut mengakui beliau sentiasa melakukan kajian terlebih dahulu sebelum menyiapkan tempahan lukisan yang diterima daripada pelanggan.
“Pada awalnya saya hanya menuruti kehendak pelanggan namun lama kelamaan saya mulai berminat untuk mempelajari atau mengetahui lebih mendalam mengenai pakaian tradisional setiap bangsa misalnya, asal usul, aksesori-aksesori tambahan pakaian tersebut dan sebagainya.
“Setelah itu, saya juga semakin berminat untuk mempelajari pakaian tradisional kaum lain terutamanya pakaian tradisional kaum yang belum pernah saya lukis sebelum ini sama ada lukisan karikatur atau lukisan berasaskan cat air (watercolour) atau cat minyak (oil painting),” jelasnya.
Menjelas lanjut mengenai karya yang dihasilkan, Ronney memberitahu beliau dalam perancangan untuk ‘memahat’ karya-karya yang dihasilkannya menjadi buku foto (photobook) dan juga baju-T (T-shirt) kelak.
Oleh RYNNA SHA’ERRA