KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) tidak tergesa-gesa untuk mendaftar Perikatan Nasional (PN) sebagai sebuah entiti politik buat masa ini.
Setiausaha Agung BN Tan Sri Annuar Musa berkata, cadangan mendaftarkan PN perlu mendapat sokongan anggota parti di setiap peringkat, bukan sahaja pucuk pimpinan.
“Perundingan antara parti-parti (di bawah PN) sentiasa berjalan oleh kerana PN pada masa ini merupakan satu gabungan yang cukup harmonis dan sedang menguruskan pentadbiran negara dengan cukup baik.
“Maka kita sudah tentu mahu memastikan suasana harmoni itu dikekalkan, kita tahu ‘configuration’ politik itu banyak sensitiviti yang perlu kita uruskan, maka tidak perlu tergesa-gesa dan setiap parti itu ada prosedur-prosedur tertentu yang mungkin sedikit berbeza antara satu parti dengan parti yang lain,” katanya dalam sidang media di sini semalam.
Annuar berkata, sebelum keputusan itu dibuat, ia hendaklah melalui proses berperingkat dan dibincangkan majlis tertinggi dan mengambil kira pandangan ahli melalui perhimpunan agung.
Jelasnya, tidak ada tempoh masa ditetapkan bagi mendaftarkan PN kerana menurut beliau, yang penting parti-parti terlibat terus mengadakan perbincangan.
“Kita bukannya hendak ada pilihan raya umum (PRU) dalam masa terdekat ini. Apa juga perkara akan kita lakukan secara tertib.
“Keputusan-keputusan apa juga yang diambil oleh tiap-tiap parti khususnya BN akan dilakukan dengan tertib dan penuh cermat,” katanya.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan Dewan Tertinggi BN sebulat suara untuk melantik Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Ketua Whip Barisan Nasional di Dewan Rakyat. – BERNAMA