SIMBOLIK PERASMIAN… ADUN Meradong, Datuk Ding Koung Hiing menyalakan obor Kejohanan Olahraga MSSB Kali Ke-47 di Kompleks Sukan Sarikei, petang kelmarin.
KEJOHANAN Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Bahagian Sarikei (MSSB) Kali Ke-47 telah bermula petang kelmarin.
Hadir merasmikan tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Koung Hiing.
Dalam ucapan perasmiannya, Ding mengucapkan syabas dan tahniah kepada pengelola kejohanan walaupun dengan kekangan serta pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) kerana masih belum bebas sepenuhnya daripada Covid-19.
“Kita sedia maklum dalam tempoh dua tahun ini, pelbagai acara dan program tidak dapat diadakan secara bersemuka, maka suasana seperti ini amat kita rindui.
“Kemeriahan di hari sukan ini membuktikan keadaan semakin pulih dan kita dapat kembali hidup seperti biasa,” katanya.
Tambahnya, kejohanan seperti ini merupakan pemangkin untuk mengasah bakat murid yang terbaik daripada setiap sekolah untuk diketengahkan dalam sukan olahraga di kejohanan kali ini.
“Pastinya semangat berkobar-kobar dalam kalangan atlet ini nanti akan melahirkan atlet yang terbaik untuk mewakili Bahagian Sarikei ke peringkat seterusnya.
“Persaingan ini merupakan persaingan yang sihat dan akhirnya akan melahirkan lebih ramai atlet dari bahagian ini yang akan mengharumkan nama bahagian di peringkat kebangsaan dan antarabangsa pada masa akan datang.
“Buat para atlet, jadikan medium ini sebagai pentas untuk membina keyakinan dan mencipta kejayaan. Jangan berhenti setakat ini sahaja namun perlu diteruskan ke peringkat tertinggi,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ding berkata, selain mencipta nama di peringkat yang terbaik, sukan juga merupakan medan menyatupadukan masyarakat di samping melengkapkan kemenjadian murid selaras dengan aspirasi Falsafah Pendidikan Negara.
“Oleh itu, saya menyeru agar aktiviti kokurikulum perlu menjadi agenda penting dalam kalendar sekolah agar nanti murid-murid yang dilahirkan di sekolah bukan sahaja cemerlang dari segi akademik malahan cemerlang dalam bidang sukan seterusnya membentuk sahsiah yang baik,” katanya lagi.
Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Sarikei, Lau Ngie Tung, PPD Meradong, Dayang Idawaty Wan Ahmad, PPD Julau, Dali Rain, Pengerusi Pengelola Kejohanan MSSB Kali Ke-47 yang juga Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Sarikei, Omar Sharif Buseri dan Pengerusi Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Sarikei (PPSMS) yang juga Pengetua SMK St Anthony, Vincent Liong Shou Chuan.
Oleh EARL ANEK