PELANCARAN… Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (dua, kanan) melancarkan logo Carsome Certifield ketika me- lawat Carsome Certifield Lab di Bandar Bukit Raja semalam. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Carsome, Eric Cheng (kiri).• Foto BERNAMA
KLANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memperhebat aktiviti penguatkuasaan bagi membendung jenayah penyeludupan dan penyelewengan minyak masak bersubsidi ke negara jiran.
Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya mengakui kegiatan tersebut aktif berlaku di negeri-negeri yang bersempadan dengan negara jiran termasuk Kedah, Kelantan, Sabah dan Sarawak ekoran harga komoditi tersebut yang tinggi di pasaran dunia.
“Setakat ini rampasan di keempat-empat negeri tersebut bernilai RM1.5 juta dalam tempoh Januari hingga semalam melibatkan 61 kes,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Carsome Certified Lab di sini semalam.
“KPDNHEP sedang merangka beberapa langkah yang buat masa ini saya masih belum dapat kongsi secara terperinci tetapi untuk makluman, jawatankuasa telah lama dibentuk dan kami kerap bermesyuarat. Oleh itu kami ada langkah-langkah untuk mengesan kegiatan tersebut,” katanya.
Menurutnya berbanding harga minyak paket di Malaysia yang dijual RM2.50 sekilogram (kg), bahan tersebut dijual dengan harga jauh lebih tinggi di negara-negara serantau iaitu di Thailand (RM12.60 per kg); Indonesia (RM14.27 per kg); Filipina (RM11.23 per kg) dan Singapura (RM12.33 per kg).
“Kami akui penyeludupan ini bukan perkara baru, namun dulu kegiatan itu tidak ketara sangat sebab beza harga minyak masak bersubsidi dan harga tidak bersubsidi adalah kecil kerana harga pasaran minyak sawit mentah (MSM) yang rendah.
“Namun harga MSM telah naik di antara RM4,000 ke RM5,000 setan dan kejadian penyeludupan kini semakin berleluasa,” katanya.
Selain itu, Nanta berkata, kerjasama penguatkuasaan terutamanya di kawasan sempadan daratan dan lautan seperti polis, tentera dan pihak kastam diperlukan bagi mematahkan cubaan penyeludupan bahan bersubsidi itu.
Mengenai bekalan minyak masak paket yang didakwa tidak mencukupi di pasaran, beliau berkata, buat masa ini sebanyak 60,000 metrik tan diperuntukkan untuk kegunaan yang bersubsidi dan data menunjukkan penduduk Malaysia hanya memerlukan 55,000 metrik tan sahaja.
— Bernama